Seorang maut manakala 13 lagi cedera akibat kejadian tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat di Kabupaten Aceh Tengah, Aceh, Indonesia, semalam.
Tanah runtuh di Aceh Tengah
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Kebencanaan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton SP Panjaitan berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.15 petang waktu tempatan selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
“Hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di beberapa kawasan sehingga bahan runtuhan dan lumpur menutupi jalan nasional, wilayah serta daerah, selain merosakkan rumah penduduk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian itu menjejaskan tujuh kampung di empat daerah iaitu Kebayakan, Lut Tawar, Celala dan Silih Nara.
Berdasarkan pendataan sementara, dua rumah penduduk mengalami kerosakan teruk manakala dua lagi rosak sederhana.
Bagi menangani kesan bencana itu, Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Aceh Tengah telah berkoordinasi dengan agensi berkaitan serta menjalankan penilaian segera di semua lokasi yang terjejas.
“BPBD Aceh Tengah turut mengerahkan dua jentera berat iaitu sebuah pemuat beroda dan sebuah jengkaut bagi membersihkan bahan lumpur dan tanah yang menghalang jalan,” katanya.
Berton berkata, kerja pembersihan dilakukan secara berterusan bagi memastikan laluan yang terputus dapat dibuka semula dan digunakan oleh penduduk.
BNPB turut mengingatkan penduduk di Aceh Tengah, khususnya yang tinggal berhampiran kawasan cerun dan tebing, supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap kemungkinan berlaku tanah runtuh susulan ketika hujan lebat berterusan.
“Masyarakat juga diminta segera berpindah sendiri ke lokasi yang lebih selamat sekiranya mengesan tanda-tanda awal pergerakan tanah di sekitar tempat tinggal,” katanya.

