Bencana alam boleh melanda pada bila-bila masa sahaja. Dalam situasi getir ini, setiap saat yang ada menjadi begitu berharga, terutamanya dalam membuat keputusan yang mungkin menentukan antara hidup dan mati seseorang.
Jika kita terpaksa menunggu bencana berlaku terlebih dahulu untuk bertindak, maka semua sudah terlambat.
Sebab itulah, satu sistem amaran awal bencana yang teratur menjadi sangat penting untuk negara ini miliki.
Ia memberi ruang untuk orang awam mendapatkan peringatan lebih awal, menjauhi kawasan bahaya jika perlu atau mendapatkan perlindungan sebelum situasi menjadi buruk.
Semua dapat amaran yang sama
Bayangkan ketika kita sedang berehat di atas sofa di rumah, melepak bersama rakan di kedai minum, berjalan mencuci mata di pusat beli-belah atau sedang tekun di pejabat, tiba-tiba telefon mengeluarkan amaran kecemasan.
Apabila dibelek skrin telefon, terpapar amaran kecemasan yang mengandungi maklumat tentang bencana alam akan melanda kawasan di mana anda berada.
Anda pandang sekeliling, orang lain pun sedang melihat amaran yang sama pada peranti peribadi masing-masing.
Bersama amaran bersama, turut disertakan beberapa arahan atau langkah-langkah yang boleh anda ambil sebagai persediaan awal.
Itulah cara Sistem Amaran Awal Nasional (EWS) atau MySiren bekerja. Nampak ringkas, bukan?
Sebenarnya, sebelum mesej itu terpapar pada skrin telefon anda, ada proses penyediaan dan kelulusan amaran, penentuan kawasan sasaran serta penyelerasan rangkaian diperlukan.
Tak perlu data internet dan nombor telefon pengguna
Di sinilah teknologi Cell Broadcast System (CBS) dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadikan MySiren benar-benar efisien.
CBS adalah teknologi yang dapat menyiarkan amaran keselamatan penting daripada rangkaian mudah alih terpilih kepada peranti serasi yang berada di lokasi terjejas, melalui rangkaian selular 4G dan 5G.
Pengguna tidak perlu memuat turun atau melanggan apa-apa aplikasi serta tidak memerlukan sambungan internet seperti data dan WiFi untuk disampaikan.
Sebab itulah, amaran oleh MySiren masih boleh dipaparkan pada telefon bimbit pengguna walaupun trafik sedang tinggi atau pengguna sudah kehabisan kuota internet.
Ia berbeza dengan Sistem Pesanan Ringkas atau SMS yang menghantar pesanan kepada nombor telefon bimbit tertentu atau aplikasi permesejan seperti Whatsapp yang memerlukan data internet.

Analoginya mudah, jika pesanan melalui SMS atau Whatsapp dihantar terus kepada penerima tertentu, pesanan CBS pula boleh diibaratkan seperti disampaikan melalui pembesar suara yang boleh diterima oleh sesiapa sahaja dalam ruang lingkup capaian yang ditetapkan.
Memandangkan amaran ini disampaikan menerusi menara telekomunikasi yang berada di kawasan bencana, mana-mana peranti yang memasuki kawasan bencana dan terhubung dengan menara telekomunikasi tersebut, mungkin menerima amaran jika siaran masih berlangsung.
Jenis amaran dan siapa yang bertanggungjawab mengeluarkan amaran
MySiren boleh digunakan dalam situasi kecemasan yang memberi ancaman serius kepada nyawa, kesihatan, keselamatan dan harta benda.
Situasi kecemasan tersebut merangkumi cuaca buruk, banjir, tsunami, kebakaran besar, kemalangan melibatkan bahan berbahaya, ancaman keselamatan awam dan kecemasan besar lain.
Begitupun, amaran ini tidak boleh dikeluarkan secara sewenang-wenangnya dan ada proses yang perlu dipatuhi.
Hanya petugas yang ditetapkan dan terlatih dalam agensi pengurusan bencana yang diberi kuasa boleh menyediakan, meluluskan dan memulakan penghantaran amaran kecemasan awam melalui MySiren.
Dalam MySiren, ada enam kategori amaran yang boleh dikeluarkan iaitu:
Amaran Nasional
Amaran Ekstrem
Amaran Teruk
Amaran Orang Hilang
Amaran Ujian
Amaran Latihan
Manakala agensi yang diberi kuasa juga boleh menghantar mesej terkini, bergantung kepada situasi kecemasan semasa atau menghantar Amaran Keadaan Selamat (All Cleared) apabila situasi kecemasan telah berlalu.

Rupa dan bunyi amaran boleh berbeza-beza
Amaran akan dipaparkan dengan jelas pada skrin, disertai bunyi yang menarik perhatian serta getaran.
Bagaimanapun, bentuk paparan dan pemberitahuan boleh berbeza mengikut model peranti, sistem pengendalian serta kategori amaran.
Contohnya, Amaran Ekstrem akan menghasilkan nada amaran kuat seperti siren berserta getaran pada telefon bimbit pengguna.
Pengguna perlu pastikan telefon bimbit serasi dengan CBS
Perlu ditekankan, amaran yang keluarkan melalui MySiren hanya mampu diterima oleh peranti yang serasi dengan CBS.
Serasi disini bermaksud telefon bimbit anda menyokong Amaran Kecemasan Tanpa Wayar atau Wireless Emergency Alerts (WEA), menggunakan sistem operasi/perisian terkini yang menyokong konfigurasi Malaysia, bersambung kepada rangkaian 4G atau 5G serta mengaktifkan tetapan amaran berkaitan (jika perlu).

Secara umumnya, My Siren dijangka boleh berfungsi pada:
iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi lebih baharu.
Peranti Android yang menggunakan Android 12 atau versi lebih baharu.
Peranti Huawei yang menggunakan EMUI 16 atau versi lebih baharu.
Pengguna juga boleh menyemak dan dinasihat mengaktifkan semua kategori kecemasan pada tetapan telefon bimbit masing-masing.
Cari Government Alerts pada iPhone dan Wireless Emergency Alerts untuk Android/Huawei.

29 November, ruang untuk kerajaan uji kesediaan MySiren
Sebagai orang awam, kita perlu memahami bahawa menghantar amaran awal dengan skala yang besar tidaklah semudah menyediakan mesej dan menekan butang hantar.
Bermula daripada agensi yang mengeluarkan amaran, penyedian rangkaian mudah alih yang bertindak sebagai penyiar sehinggalah peranti yang serasi, semua perlu berfungsi secara bersama.
Bagi menilai kesiapsiagaan itu, ujian amaran awam MySiren seluruh negara dijadual akan dilaksanakan pada 29 November 2026 ini.
Tujuannya adalah untuk menilai prestasi sistem, mengenal pasti isu teknikal serta memantau bagaimana amaran tersebut dihantar dan diterima oleh pengguna.
Tertakluk kepada penyempurnaan ujian dan penilaian kesiapsiagaan, MySiren dijangka tersedia untuk operasi sepenuhnya pada penghujung 2026.
MySiren adalah satu keperluan, walau apa pun cabarannya
Dalam dunia hari ini, memperkenalkan inisiatif sebesar MySiren bukanlah bahagian yang paling susah.
Dengan adanya media sosial, satu penerangan boleh disebarkan dengan mudah kepada orang ramai.
Tetapi ironinya, media sosial juga boleh menghalang keberkesanan penyampaian jika maklumat asal tentang MySiren dipotong, diubah atau disampai secara sekerat-sekerat, sehingga orang awam tidak berpeluang untuk memahami sistem ini secara sepenuhnya.

Apabila mahu menilai MySiren, orang ramai perlu melihat dengan lebih jauh daripada sekadar bunyi amaran pada telefon bimbit.
Di belakang MySiren, ada proses kelulusan mesej, penentuan kawasan sasaran, penyelarasan rangkaian serta keserasian pelbagai jenis peranti yang perlu diuji dan dipastikan dapat berfungsi bersama.
Apa yang penting, apabila amaran sebenar tiba satu hari nanti, orang ramai mudah untuk memahami mesejnya dan tahu bagaimana hendak bertindak.
Untuk maklumat lanjut, ikuti secara rapat laman web, Facebook dan Instagram Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

