Pengguna platform WhatsApp dan Telegram diingatkan supaya berwaspada terhadap fail yang dimuat turun secara automatik menerusi aplikasi berkenaan kerana ia berpotensi mengundang risiko keselamatan siber.
Menurut National Cyber Security Agency (NACSA) Malaysia, fail berbahaya yang menyamar sebagai dokumen kewangan atau perundangan kini digunakan oleh penjenayah siber untuk memperdaya pengguna supaya membuka lampiran yang dihantar.
Fail berbahaya yang boleh mendedahkan maklumat sensitif
Antara format fail yang berisiko disalahgunakan termasuk .vbs, .apk, .zip, .iso dan .xlsx.
Fail berkenaan boleh digunakan untuk melaksanakan kod berniat jahat, sekali gus membolehkan penjenayah siber mengawal komputer dari jauh serta mencuri maklumat sensitif pengguna.

Pengguna disaran matikan fungsi “Auto-download”
Bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber, pengguna disarankan mengambil beberapa langkah keselamatan ketika menggunakan aplikasi tersebut.
Antara langkah keselamatan yang disarankan NACSA adalah:
Matikan fungsi muat turun automatik di WhatsApp dan Telegram.
Elakkan membuka fail atau lampiran daripada sumber yang tidak dikenali atau mencurigakan.
Sahkan identiti pengirim sebelum membuka sebarang fail yang tidak dijangka.
Pastikan aplikasi dan sistem operasi peranti sentiasa dikemas kini.
Apa kena buat kalau dah terbuka fail?
Putuskan sambungan internet peranti dengan segera
Tukar kata laluan akaun penting menggunakan peranti lain yang selamat
Hubungi pihak bank jika maklumat perbankan terjejas
Dapatkan bantuan teknikal dan laporkan insiden kepada pihak berkaitan
Langkah mudah ini penting bagi mengurangkan risiko kecurian maklumat dan pencerobohan peranti, terutama ketika aplikasi pesanan menjadi antara saluran komunikasi utama dalam kehidupan seharian.
Jangan tunggu sehingga menjadi mangsa. Semak tetapan WhatsApp dan Telegram anda hari ini serta rujuk infografik untuk mengetahui langkah-langkah keselamatan yang boleh diamalkan.


