Banjir yang melanda sempadan Tibet-Nepal semalam bukan sahaja menyebabkan kemusnahan besar, malah menyukarkan orang ramai untuk berhubung dengan individu di lokasi kejadian.
Malah, media tempatan turut melaporkan lebih 50 orang warga Malaysia yang berada di Nepal masih gagal dihubungi oleh ahli keluarga masing-masing.
Antara yang tampil berkongsi situasi tersebut adalah seorang pengguna Threads, @isfarrina yang memaklumkan bahawa dia dan keluarganya masih belum dapat berhubung dengan adiknya yang dilapor berada di Annapurna.
“Doakan adik saya yang berada di Nepal sekarang selamat. Saya memang tidak tahu dia pergi dengan travel apa tapi dia join trip pergi Annapurna,” katanya.
Kakak Mohon Orang Ramai Doakan Adik Yang Ada Di Annapurna, Nepal

Menurut @isfarrina, adiknya, Zahir, menyertai sebuah agensi pelancongan untuk percutian tersebut, namun dia tidak pasti agensi mana yang menguruskan perjalanan berkenaan.
@isfarrina berkata, dia juga sudah menghubungi pihak kedutaan di Nepal dan meluahkan rasa syukur apabila nama adiknya tidak disenaraikan sebagai orang hilang buat masa ini.
Walaupun begitu, kerisauan terhadap keselamatan adiknya tetap ada memandangkan sehingga kini mereka masih belum berjaya menghubunginya.
“Tapi Alhamdulillah sudah hubungi kedutaan dekat sana, nama dia memang tidak ada dalam senarai hilang. Cuma sampai sekarang masih tak dapat dihubungi sebab kat sana memang line tengah masalah,” katanya.
Dalam pada itu, @isfarrina turut meminta orang ramai agar sama-sama mendoakan keselamatan adiknya dan berharap Zahir dapat dihubungi secepat mungkin.
@isfarrina turut berkongsi lokasi terakhir adiknya di wilayah Gandaki, Nepal menerusi aplikasi perkongsian lokasi, Life360.

Sementara itu, satu komen menarik perhatian selepas seorang wanita mendakwa dirinya merupakan salah seorang kru dalam agensi yang disertai adiknya.
Menurut wanita bernama She, Zahir berada dalam keadaan selamat dan baik bersama kru lain yang turut berada di lokasi.
“Cuma Zahir tak membeli SIM card/WiFi, jadi buat masa ini memang tiada line untuk dihubungi. Saya mohon maaf atas kerisauan yang timbul dan terima kasih kerana memahami,” tulisnya.
Dalam pada itu, wanita itu turut berkongsi nombor telefon salah seorang kru yang sedang bertugas di lokasi yang boleh dihubungi.
Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada pengesahan daripada @isfarrina atau mana-mana pihak lain mengenai kesahihan komen wanita tersebut.
Beberapa individu turut berkongsi mereka juga berada di Annapurna dan memaklumkan keadaan di sana baik-baik sahaja.
Tidak kurang juga yang mendoakan semoga keadaan adiknya baik-baik sahaja dan tidak dapat dihubungi susulan ketiadaan line telefon di lokasinya.





