Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tahanan Rumah Lolos, Turun Guna Tali Dari Balkoni Tingkat Lima

Tahanan Rumah Lolos
Kredit: AFP

Seorang lelaki warga Itali yang pernah terlibat dalam kegiatan kumpulan militan Briged Merah berjaya meloloskan diri daripada tahanan rumah di Argentina dengan menuruni balkoni tingkat lima menggunakan tali.

Leonardo Bertulazzi, 74, yang sedang menunggu proses ekstradisi ke Itali, dipercayai merancang pelarian itu dengan terlebih dahulu mengubah suai alat pemantau elektronik pada buku lalinya.

Tindakannya menyebabkan pihak berkuasa tidak menyedari dia sudah melarikan diri kerana peranti berkenaan masih menghantar bacaan suhu badan seperti biasa.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar apabila pegawai keselamatan menyedari alat tersebut tidak menunjukkan sebarang pergerakan sebelum melakukan pemeriksaan di kediamannya di Buenos Aires.

Mereka mendapati Bertulazzi sudah tiada, manakala alat pemantau elektronik itu ditinggalkan di dalam pangsapuri berkenaan.

Menurut akhbar Argentina, Clarín, polis turut mendapatkan bantuan pakar bahan letupan kerana bimbang peranti itu mungkin dipasang dengan bahan letupan.

Pemeriksaan lanjut mendapati Bertulazzi sebenarnya mengubah suai alat tersebut supaya penggera tidak berbunyi selepas dia menanggalkannya.

Pihak berkuasa kini melancarkan operasi memburu lelaki itu di seluruh Argentina, ketika proses ekstradisinya ke Itali dilaporkan hampir selesai.

Tahanan Rumah Lolos

Media Itali melaporkan rayuan terakhir Bertulazzi untuk menghalang ekstradisi berkenaan sudah ditolak sebelum dia melarikan diri.

Bertulazzi sebelum ini dijatuhi hukuman tanpa kehadirannya di mahkamah Itali berhubung penculikan jurutera tentera laut, Pietro Costa, pada 1977.

Dalam kejadian itu, anggota Briged Merah menculik Costa di jalanan dan menahannya selama 81 hari sebelum membebaskannya selepas menerima wang tebusan.

Wang hasil penculikan tersebut kemudian digunakan untuk membeli sebuah pangsapuri di Rom yang menjadi lokasi pembunuhan bekas Perdana Menteri Itali, Aldo Moro, pada 1978.

Moro diculik ketika dalam perjalanan menghadiri pembukaan sidang parlimen selepas keretanya diserang hendap oleh anggota kumpulan berkenaan.

Dia dikurung di sebuah pangsapuri selama 54 hari sebelum ditembak mati, manakala mayatnya ditinggalkan di dalam but sebuah kereta Renault di tengah Rom.

Bertulazzi pernah ditahan pada 2002 selepas memasuki Argentina dari Chile menggunakan pasport palsu, namun diberikan status pelarian dua tahun kemudian.

Dia kemudiannya hidup bebas di negara itu sehingga ditahan semula pada 2024, selepas Javier Milei mengambil alih jawatan Presiden Argentina.

Kerajaan Milei ketika itu menyifatkan jenayah dilakukan Bertulazzi sebagai perbuatan yang mencabuli nilai demokrasi serta mengorbankan ramai mangsa.

Bertulazzi merupakan anggota Briged Merah, kumpulan militan berfahaman Marxis yang terlibat dalam beberapa kes penculikan dan pembunuhan pegawai kerajaan Itali sepanjang 1970-an dan 1980-an.

Sumber:BBC
Intipati
  • Leonardo Bertulazzi melarikan diri daripada tahanan rumah di Buenos Aires menggunakan tali dari balkoni.
  • Dia dipercayai mengubah suai alat pemantau elektronik supaya penggera tidak berbunyi selepas ditanggalkan.
  • Argentina melancarkan operasi memburu Bertulazzi ketika proses ekstradisinya ke Itali dilaporkan hampir selesai.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan