Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Najib Perlu Patuhi Empat Kategori Syarat Ketat Sepanjang Jalani Tahanan Rumah - KDN

najib
Kredit: Bernama

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mematuhi empat kategori syarat sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketetapan itu terkandung dalam lampiran keputusan Lembaga Pengampunan selain beberapa syarat tambahan yang ditetapkan Jabatan Penjara bagi tujuan kawalan dan pemantauan.

Menurutnya, antara syarat utama yang perlu dipatuhi ialah sekatan tempat tinggal apabila Najib diwajibkan menetap di alamat khusus, iaitu nombor 11, Jalan Langgak Duta.

Beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga tidak dibenarkan berpindah ke kediaman atau premis lain tanpa mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu.

“Di dalam keputusan Lembaga Pengampunan itu, berkenaan dengan tempat tinggal, dia sebut dengan jelas tempat tinggal itu adalah nombor 11 di Jalan Langgak Duta,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Najib tidak dibenarkan tinggal bersama individu lain selain ahli keluarga yang dibenarkan, termasuk isteri, anak, menantu dan cucu, tanpa kebenaran bertulis.

Beliau juga tidak boleh menerima sebarang kunjungan tetamu tanpa mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu.

Bagi kategori komunikasi pula, Najib hanya dibenarkan menggunakan telefon dan peralatan telekomunikasi yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara bagi membolehkan pemantauan serta pengesahan keberadaannya di kediaman berkenaan.

Menurut Saifuddin, Najib turut tertakluk kepada larangan memberikan sebarang kenyataan atau ulasan kepada media, menggunakan platform media sosial serta terlibat dalam liputan media.

“Tidak boleh buat sebarang kenyataan atau ulasan dalam mana mana liputan media. Tidak boleh libatkan diri dalam majlis keramaian, jauh sekali daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik,” jelasnya.

Dalam aspek pemulihan, Najib juga diwajibkan mengikuti program pemulihan dan intervensi sebagai sebahagian daripada syarat pelaksanaan tahanan di rumah.

Saifuddin berkata, kesemua ketetapan berkenaan telah dibacakan kepada Najib dua hari sebelum beliau dibawa keluar dari penjara ke kediamannya di Jalan Langgak Duta.

Beliau menjelaskan, kerangka syarat berkenaan bukan disediakan khusus untuk Najib semata mata, sebaliknya merupakan persediaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengendalikan kes seumpamanya pada masa hadapan.