Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 23 JULAI 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) telah meraih dua anugerah berprestij bagi hartanah ikoniknya, Menara TH Tun Razak dan Menara Bank Islam, yang mencerminkan komitmen berterusan dalam pengurusan aset dan amalan kelestarian.
Anugerah sempena The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards (BMSPA) 2026 mengiktiraf usaha berterusan TH mengurus dan memperkasakan aset hartanah secara profesional, inovatif dan mampan, selaras dengan tadbir urus terbaik serta komitmen terhadap nilai jangka panjang.
Menara TH Tun Razak dinobatkan sebagai pemenang kategori Bangunan Pejabat Bukan Strata (Non-Strata Office), manakala Menara Bank Islam memenangi kategori Bangunan Pejabat Milikan Tunggal dalam Pembangunan Strata Bercampur (Single-Owned Office in a Mixed Strata Development).
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata kejayaan itu membuktikan komitmen TH dalam mengurus aset secara profesional, berintegriti dan mampan, sekali gus memastikan aset yang diamanahkan terus menjana nilai kepada lebih 9.8 juta pendeposit.
"Dua pengiktirafan ini bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan pengurusan bangunan, malah mencerminkan komitmen TH dalam memenuhi standard terbaik dalam segala apa yang dilakukan. Sebagai institusi yang mengurus amanah umat Islam, setiap aset perlu dipelihara sebaiknya agar terus memberi manfaat kepada para pendeposit, masyarakat dan negara untuk jangka panjang," jelas beliau.
Beliau berkata, kejayaan itu turut membuktikan keupayaan TH sebagai institusi yang telah banyak menerima pengiktirafan, dalam menggabungkan pengurusan aset yang matang dengan teknologi moden, pendigitalan dan amalan kelestarian selaras dengan standard terbaik industri.

Menara TH Tun Razak yang direka oleh arkitek terkenal Hijjas Kasturi dan menjadi mercu tanda Kuala Lumpur sejak 1985, terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan. Ini termasuk menaik taraf kemudahan bangunan, sistem parkir tanpa tunai berasaskan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan, peningkatan aspek keselamatan dan akses, serta perancangan pemasangan sistem solar sebagai sebahagian daripada Pelan Pengurusan Aset Lima Tahun.
Menara Bank Islam terus menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan fasiliti menerusi penyelenggaraan proaktif, pemantauan berasaskan keadaan (condition-based monitoring) dan penggunaan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer i-MANS, yang meningkatkan kecekapan operasi, mempercepatkan masa respons serta mengoptimumkan pengurusan aset. Kedua-dua bangunan ini diuruskan oleh TH Properties Sdn Bhd, iaitu sebuah anak syarikat milikan penuh TH.
Pendekatan yang dilaksanakan berjaya memastikan kebolehpercayaan sistem kritikal bangunan seperti bekalan air domestik, lif dan sistem pencegahan kebakaran, di samping menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 6.6 peratus berbanding garis asas tenaga yang diselaraskan melalui pelaksanaan sistem automasi bangunan, pengoptimuman operasi sistem penyaman udara serta penggunaan lampu cekap tenaga.
Tan Sri Abdul Rashid berkata, pengiktirafan tersebut mengukuhkan komitmen TH untuk terus mempertingkatkan pengurusan aset berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). TH akan terus memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan aset-aset strategik kekal berdaya saing serta mencipta nilai mampan kepada para pendeposit.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Kumpulan TH atas dedikasi serta komitmen mereka dalam memastikan aset-aset TH diurus mengikut standard tertinggi sehingga meraih pengiktirafan di peringkat industri.