Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sekali lagi menerima pengiktirafan menerusi Malaysia Recognition of Excellence Award 2026 oleh OpenGov Asia, meneruskan pencapaian organisasi selepas menerima Digital Economy Award pada tahun 2025 menerusi inisiatif My.AI.Day.
Pengiktirafan tersebut disampaikan sempena 11th Annual Malaysia OpenGov CXO Leadership Forum 2026 di Kuala Lumpur dan diterima oleh Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam.
Pengiktirafan tahun ini mencerminkan komitmen MPC bersama kementerian, agensi serta rakan strategik seluruh negara dalam menjayakan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) bagi menghasilkan sistem penyampaian yang lebih cekap, tangkas dan responsif.
Dr. Mohamad Norjayadi berkata, kejayaan tersebut bukan pencapaian MPC semata- mata, sebaliknya hasil usaha kolektif pasukan RKB bersama kementerian, agensi dan rakan pelaksana yang komited untuk memperbaiki proses serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Pengiktirafan ini bukan pencapaian satu organisasi sahaja. Ia mencerminkan dedikasi, inovasi dan usaha bersama seluruh pasukan, khususnya pasukan Reformasi Kerenah Birokrasi, bersama MITI, kementerian, agensi dan rakan strategik di seluruh negara”, ujarnya.
Menurut beliau, RKB bukan sekadar usaha mengurangkan birokrasi, tetapi merupakan instrumen penting untuk meningkatkan produktiviti melalui penyederhanaan proses, pengurangan beban kawal selia yang tidak perlu, penambahbaikan penyampaian perkhidmatan dan penciptaan nilai yang lebih tinggi.
“Melalui RKB, kita bukan sekadar mahu mengurangkan kerenah birokrasi. Matlamatnya ialah meningkatkan produktiviti dengan mempermudah proses, mengurangkan beban kawal selia yang tidak perlu dan memastikan penyampaian perkhidmatan memberikan nilai yang lebih besar kepada perniagaan, rakyat dan negara”, katanya.
Pendekatan ini sejajar dengan usaha Malaysia meningkatkan pertumbuhan produktiviti buruh kepada 3.6 peratus setahun serta memperkukuh kedudukan negara ke arah sasaran 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2030.
Bagi mencapai aspirasi tersebut, peningkatan produktiviti perlu diterjemahkan kepada perubahan yang nyata di lapangan termasuk tempoh proses yang lebih singkat, kos pematuhan yang lebih rendah, prosedur yang lebih mudah, penggunaan teknologi yang lebih berkesan serta pengalaman perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat dan perniagaan.
Dr. Mohamad Norjayadi berkata, pengiktirafan OpenGov Asia memberikan dorongan kepada MPC untuk meningkatkan lagi skala dan impak agenda reformasi produktiviti.
“Anugerah ini memberi inspirasi kepada kami untuk bergerak lebih jauh, menerima perubahan, mempercepat reformasi dan memperkukuh produktiviti ke arah Malaysia yang lebih kompetitif dan berprestasi tinggi.”
Pada masa sama, MPC akan terus memperkukuh peranannya sebagai productivity powerhouse negara, dengan menghubungkan agenda produktiviti merentas kerajaan, industri dan perusahaan melalui reformasi proses, pembangunan bakat, pendigitalan, inovasi serta intervensi berasaskan impak.
Peranan tersebut akan memberi penekanan kepada pendekatan ukur, tambah baik dan perluas, supaya inisiatif produktiviti yang terbukti berkesan bukan sahaja menghasilkan penambahbaikan di peringkat organisasi tetapi dapat diperluaskan untuk memberikan manfaat yang lebih besar kepada industri, rakyat dan ekonomi negara.
MPC komited untuk terus bekerjasama erat dengan kerajaan, industri dan rakan strategik bagi memastikan reformasi bukan sekadar menghasilkan proses yang lebih mudah, tetapi menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti, daya saing dan kesejahteraan negara.

