Keberanian untuk menyuarakan pendapat dan tampil di hadapan khalayak bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak yang masih di bangku sekolah.
Namun, usia muda bukan penghalang untuk seseorang menunjukkan kebolehan diri, malah ada yang mampu tampil dengan penuh keyakinan sehingga mengagumkan orang ramai.
Petah Berbahas Di Parlimen, Murid 10 Tahun Curi Perhatian Ramai
Itulah yang dapat dilihat menerusi perkongsian seorang bapa di Threads, @nickalman, apabila anak lelakinya yang baru berusia 10 tahun berpeluang mengambil bahagian dalam Forum Fasih Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Parlimen pada Khamis.
Menerusi perkongsian tersebut, bapanya memaklumkan bahawa anak sulungnya, Nik Ziyad Malik merupakan salah seorang murid yang terpilih mewakili Selangor untuk menyertai forum berkenaan.
Nik Ziyad yang merupakan anak jati Kelantan itu membesar di Selangor sejak kecil dan kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tiga.
Ibu bapa beri sokongan penuh terhadap minat anak
Berkongsi lebih lanjut mengenai anaknya itu, bapanya memaklumkan bahawa Nik Ziyad baru sahaja menyertai aktiviti debat pada awal tahun ini selepas bakatnya mula disedari oleh guru di sekolah.
Bagaimanapun, keberaniannya untuk bercakap di hadapan orang ramai bukanlah sesuatu yang baharu apabila dia sudah menunjukkan kebolehan tersebut sejak berusia enam tahun.
“Cuma Ziyad ni memang dari kecil, umur enam tahun lagi dia sudah berani untuk tampil ke hadapan dan bercakap dalam apa-apa acara secara spontan,” katanya kepada SK.
Dalam perkongsian sama, bapanya turut menjelaskan bahawa mereka sekeluarga sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap minat anak-anak.
Malah, dia berharap agar Nik Ziyad terus istiqamah dan berjaya mencapai impiannya seperti individu yang menjadi idolanya, iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
“Sebagai ibu bapa, kami beri sokongan penuh atas minat anak-anak ini. Doakan anak sentiasa istiqamah dan berjaya seperti idolanya, Syed Saddiq serta dapat berjumpa dengan YB suatu hari nanti,” tulisnya.
Ruangan komen dibanjiri pujian dan ungkapan rasa bangga
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya kagum melihat keberanian Nik Ziyad pada usia yang masih muda.
Ada juga ibu bapa yang mengakui berasa sebak melihat pencapaian kanak-kanak seusianya, malah turut memberikan kata-kata semangat agar dia terus melakar kejayaan.


Perkongsian tersebut bukan sahaja mencuri perhatian kerana keberanian Nik Ziyad, malah turut menjadi inspirasi bahawa kanak-kanak juga mampu menyerlahkan potensi diri apabila diberikan peluang, kepercayaan dan sokongan daripada orang sekeliling.

