Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Suspek Masih Dirawat, 24 Individu Dirakam Percakapan Berhubung Insiden Serangan Di Sekolah Antarabangsa - Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak

Serangan Di Sekolah Antarabangsa
Gambar Tular

Suspek kes serangan di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak kini masih menerima rawatan di hospital.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner (DCP) Datuk Saifullizan Ishak memaklumkan suspek terlibat dalam insiden di Tunku Putra-HELP itu masih dirawat di hospital.

“Siasatan diteruskan dengan mengambil kira keadaan kesihatannya serta tertakluk kepada nasihat dan penilaian pihak pegawai perubatan, disamping memastikan segala prosedur undang-undang yang berkuatkuasa dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Polis Berkenaan Serangan Di Sekolah Antarabangsa Di Kuching

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa seramai 24 orang telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Seramai 24 orang telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, melibatkan pengadu, mangsa, pegawai perubatan, pegawai yang terlibat dalam tangkapan dan rampasan, ibu bapa individu disiasat, pemandu keluarga, pihak sekolah serta pelajar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara profesional, teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira semua keterangan serta bukti berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan fakta yang diperoleh dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam masa sama, polis meminta orang ramai menghormati privasi mangsa dan pelajar yang terlibat serta tidak menyebarkan identiti, gambar atau maklumat peribadi yang boleh membawa kepada pengenalpastian mana-mana pihak, khususnya individu bawah umur.

PDRM Kontinjen Sarawak menegaskan komitmen untuk memastikan siasatan kes berkenaan dilaksanakan secara adil, objektif dan berlandaskan kedaulatan undang-undang.