Rangkaian LPR Parking Touch ’n Go Group kini merangkumi lebih 200 lokasi aktif di seluruh negara, dengan Golden Parking Rewards diperkenalkan di MyARTTE 2026
KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2026 – Suria KLCC Car Park merupakan lokasi terbaharu yang menyertai rangkaian Licence Plate Recognition (LPR) Parking Touch ’n Go Group, memberikan pengguna kenderaan pilihan pembayaran tambahan dengan caj parkir ditolak secara automatik daripada baki akaun TNG eWallet mereka.

Touch ’n Go Group kini mempunyai lebih 200 lokasi LPR Parking yang aktif di seluruh Malaysia, merangkumi pusat beli-belah, bangunan komersial, hospital, hotel dan pelbagai destinasi lain. Penyertaan Suria KLCC Car Park memperluaskan kemudahan ini kepada lebih ramai pengguna kenderaan yang berkunjung ke pusat bandar Kuala Lumpur.
Bersempena dengan penambahan ini, Touch ’n Go Sdn. Bhd. (“Touch ’n Go”) dan TNG Digital Sdn. Bhd. (“TNG Digital”) hari ini memperkenalkan Golden Parking Rewards di Touch ’n Go Connected Mobility Pavilion sempena MyARTTE 2026, yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Pelancaran tersebut turut menghimpunkan Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Sdn. Bhd.; Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn. Bhd.; serta wakil daripada KLCC.
LPR Parking melengkapkan pilihan pembayaran yang tersedia di Suria KLCC Car Park dengan menghubungkan pengesanan kenderaan kepada pembayaran automatik. Bagi pengguna berdaftar, sistem akan mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan ketika masuk dan keluar, manakala caj parkir akan ditolak secara automatik daripada baki TNG eWallet mereka. Pengguna hendaklah memastikan baki eWallet mencukupi untuk menampung caj parkir.
Perkhidmatan ini menghubungkan rangkaian parkir Touch ’n Go dengan TNG Digital, pengendali aplikasi perkhidmatan kewangan digital dan gaya hidup terkemuka Malaysia, TNG eWallet. Dengan lebih 27 juta pengguna, TNG eWallet menyediakan platform sedia ada yang membolehkan pengguna mendaftarkan kenderaan mereka dan mengakses LPR Parking tanpa perlu memuat turun aplikasi parkir berasingan.
Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Sdn. Bhd., berkata:
“Penambahan Suria KLCC Car Park ke dalam rangkaian LPR Parking kami membawa kemudahan pembayaran parkir secara automatik ke sebuah destinasi yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian ramai rakyat Malaysia. Sama ada berkunjung atas urusan kerja, membeli-belah atau meluangkan masa bersama keluarga, pengguna kenderaan kini mempunyai pilihan pembayaran tambahan yang menjadikan proses tiba dan beredar lebih mudah.”
“Dengan lebih 200 lokasi yang kini aktif, kami terus bekerjasama dengan pengendali parkir bagi menyediakan kemudahan ini di lebih banyak destinasi. Fokus kami kekal untuk memudahkan setiap aspek perjalanan, daripada perjalanan di lebuh raya hinggalah kepada pengalaman parkir di destinasi,” tambah beliau.
Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn. Bhd., berkata:
“TNG eWallet dibangunkan sebagai teman digital harian untuk rakyat Malaysia, dan detik yang paling bermakna selalunya datang daripada perkara-perkara kecil. Parkir merupakan salah satunya. Dengan LPR Parking di Suria KLCC Car Park, pengguna kenderaan hanya perlu masuk, meletakkan kenderaan dan keluar, manakala caj parkir akan dibayar secara automatik melalui TNG eWallet mereka.”
“Kerjasama kami bersama Touch ’n Go dan Suria KLCC Car Park menunjukkan apa yang boleh dicapai oleh ekosistem yang lebih luas apabila kita bekerjasama. Apabila LPR Parking terus berkembang ke lebih banyak lokasi, satu aplikasi dapat memudahkan lebih banyak perjalanan harian pengguna kami,” tambah beliau.
Golden Parking Rewards
Menerusi kempen Golden Parking Rewards yang akan datang, peserta terpilih yang layak, telah mengaktifkan LPR Parking melalui TNG eWallet dan melengkapkan transaksi LPR Parking yang layak di Suria KLCC Car Park sepanjang tempoh kempen akan masing-masing menerima Touch ’n Go Limited-Edition 30th Anniversary Gold Wafer, yang mengandungi *0.5g emas 999.9*. Penyertaan dan pemilihan penerima ganjaran adalah tertakluk kepada terma dan syarat kempen.
Selain itu, pengguna kali pertama LPR Parking akan menerima pulangan tunai RM2 apabila mereka menggunakan perkhidmatan tersebut di Suria KLCC Car Park sepanjang tempoh kempen, sementara penebusan masih tersedia.
Tarikh bermulanya kempen, mekanisme penyertaan penuh serta terma dan syarat akan diumumkan melalui saluran rasmi Touch ’n Go Group. Pengguna kenderaan digalakkan untuk mengikuti perkembangan terkini bagi mendapatkan maklumat selanjutnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai LPR Parking Touch ’n Go Group dan lokasi yang disokong, sila layari laman rasmi Touch ’n Go Group.
