Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sultan Sharafuddin Kekal Pendirian Tidak Berkenan Sebarang Aktiviti Penternakan Babi Dijalankan Dalam Selangor

Iqbal Yasir
Sultan Sharafuddin Kekal
Kredit; Bernama

Sultan Sharafuddin Kekal Pendirian Tidak Berkenan Sebarang Aktiviti Penternakan Babi Dijalankan Dalam Selangor

Sultan Selangor kekal dengan pendirian Baginda seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media pada 10 Februari lalu bahawa Baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.

Sultan Sharafuddin Kekal Pendirian

"Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira 9 juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Selangor sahaja.

"Justeru, Baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di Negeri Selangor. Bahkan negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar," menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, baginda berpandangan bahawa penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di negeri ini memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Sehubungan itu, baginda menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Selangor terus terpelihara.