Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan seorang pegawai Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dinobatkan sebagai penuntut terbaik keseluruhan Kursus Sniper Infantry 2026 di China.
Baginda yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai berkenaan atas pencapaian cemerlang sepanjang mengikuti kursus di Shijiazhuang Campus, PLA Infantry Academy, Hebei, China, dari 1 Mac hingga 31 Julai lalu.
Dalam surat kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain bertarikh 13 Ogos, Sultan Sharafuddin berkata pegawai terbabit berjaya muncul sebagai penuntut terbaik keseluruhan kursus berkenaan.
Baginda berkata, pegawai itu turut menerima Excellent Student Awards, selain Certificate of Honors - Excellent Cadre serta Silver Badge Medals berdasarkan pencapaiannya dalam penilaian kursus.
“Pencapaian terbaik dari 131 penuntut dari lebih 24 negara merupakan suatu perkara yang harus dibanggakan,” titah baginda menerusi surat yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Menurut Sultan Sharafuddin, kejayaan tersebut diharap dapat menjadi contoh kepada pegawai dan anggota PASKAL serta warga TLDM lain untuk terus berusaha gigih dalam mengharumkan nama pasukan dan negara.
Baginda turut menyampaikan ucapan syabas dan tahniah kepada Zulhelmy serta seluruh warga PASKAL dan TLDM atas pencapaian yang mengharumkan nama Malaysia.
Dalam hantaran sama, Istana Selangor menjelaskan bahawa nama dan wajah pegawai berkenaan tidak didedahkan bagi menjaga kerahsiaan unit PASKAL serta identitinya.
“Kejayaan pegawai berkenaan menyerlahkan keupayaan anggota pasukan khas negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa, selain mengharumkan nama Malaysia dalam bidang ketenteraan,” menurut kenyataan itu.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan