Skuad hoki lelaki negara meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila membelasah Thailand 10-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara, Gifu, hari ini.
Belasah Thailand 10-0
Memetik laporan Stadium Astro, Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal Saari sebelum Muhajir Abdu Rauf menggandakan kelebihan dua minit kemudian menerusi situasi sama.
Seminit selepas itu, Azrai Aizad Abu Kamal meledak gol padang untuk meletakkan Malaysia selesa 3-0 sebelum Aminuddin Zain menyudahkan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-28 bagi menutup separuh masa dengan kelebihan 4-0.
Bersambung suku ketiga, Malaysia terus menggandakan tekanan apabila Faizal dan Ashran Hamsani masing-masing menjaringkan gol padang pada minit ke-35 untuk menjadikan kedudukan 6-0.
Azrai kemudian mencetak gol kedua peribadi menerusi gol padang pada minit ke-41 sekali gus menyaksikan Malaysia mendahului 7-0 selepas tiga suku permainan.
Memasuki suku terakhir, Malaysia terus menguasai permainan dengan meledak tiga lagi gol menerusi Shello Silverius, Faiz Helmi Jali dan Akhimullah Anuar Esook bagi melengkapkan kemenangan 10-0.
Kemenangan itu meneruskan aksi cemerlang Speedy Tigers dalam kempen Kumpulan B selepas sebelum ini membelasah Uzbekistan 7-0 dalam aksi pembukaan pada 20 Sept.


