Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SPRM Masih Jalankan Siasatan Pelaburan KWAP Dalam eFishery - MoF

SPRM
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan proses siasatan terhadap pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia eFishery.

Menurut MoF, siasatan yang dijalankan belum menemukan sebarang unsur salah laku jenayah membabitkan rasuah atau penyelewengan berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery seperti yang dilaporkan media pada 13 Ogos lalu.

Kementerian memaklumkan, KWAP juga bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan serta konsortium pelabur dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Pada masa yang sama, usaha melalui saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan pemulihan nilai pelaburan terus dilaksanakan,” menurutnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Kalam Salan (PN-Sabak Bernama) yang meminta kerajaan mengesahkan pelaburan KWAP kira-kira RM200 juta dalam eFishery yang terdedah kepada penipuan.

Selain itu, beliau turut meminta penjelasan mengenai pihak yang meluluskan pelaburan itu dan bertanggungjawab atas kegagalan usaha wajar, nilai kerugian sebenar dan sama ada KWAP akan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuai.

MoF menyatakan, pelaburan dalam eFishery melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan termasuk pengesahan juruaudit antarabangsa bertauliah berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu.

Bagaimanapun, katanya, syarikat berkenaan kemudiannya didapati terbabit dalam manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat.

“Keadaan ini berlaku walaupun proses penilaian yang dilaksanakan telah merangkumi penilaian dalaman, usaha wajar bebas serta penelitian terhadap aspek kewangan, perundangan dan operasi sebelum cadangan pelaburan diluluskan.

“Malah, beberapa pelabur institusi global utama turut terjejas akibat salah laku berkenaan,” katanya.

MoF berkata, jumlah sebenar pelaburan KWAP dalam eFishery sebanyak RM163.4 juta dan mewakili kira-kira 2.51 peratus pegangan saham dalam syarikat terbabit.

MoF memaklumkan, KWAP adalah pemegang saham minoriti dalam eFishery, manakala sebahagian besar saham syarikat terbabit dipegang oleh pelabur lain termasuk pelabur institusi global utama.

-- BERNAMA