Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang daripada tujuh lelaki yang terperangkap di dalam sebuah gua separa tenggelam di Laos selama lebih seminggu, lapor Bangkok Post.
Kumpulan penyelamat Thailand, Metta Tham Kalasin Rescue memaklumkan mengenai perkara itu di Facebook pada Jumaat.
Gambar yang memaparkan tiga lelaki memimpin seorang lelaki dalam keadaan basah, berlumpur dan tidak terurus melalui kawasan tanah yang tidak stabil turut dikongsikan.
Tujuh lelaki itu yang dikatakan mencari emas terperangkap di dalam gua berkenaan di kawasan pergunungan terpencil di wilayah Xaysomboun sejak 20 Mei.
Ia berlaku selepas banjir kilat dan menyebabkan mereka terkandas.
Lima daripada mereka ditemukan masih hidup pada Rabu, dalam keadaan berhimpit di sebuah laluan sempit kira-kira 300 meter dari pintu gua.
Video yang dirakam penyelam penyelamat menunjukkan mereka dalam keadaan berlumpur dan murung, selain mengadu sakit dada serta kelaparan. Manakala dua lagi rakan mereka masih belum ditemukan.

“Seorang mangsa berjaya keluar dari gua dengan selamat. Kami akan menilai keadaan empat lagi mangsa dan akan mencari dua lagi mangsa esok,” kata anggota pasukan penyelamat Thailand, Kengkard Bonggawong dalam hantaran berasingan di Facebook pada Jumaat.
Satu lagi pasukan penyelam pakar dilaporkan menuju ke Laos pada Jumaat bagi membantu usaha membawa keluar mangsa yang disifatkan rumit.
Menurut hantaran kumpulan sukarelawan itu di Facebook, antara anggota bantuan baharu yang menyertai operasi berkenaan ialah Robin Cuesta dari Perancis, Audita Harsono dari Indonesia, Yoshitaka Isaji dari Jepun, Naruchit Kiatmaneesri dari Thailand dan Josh Richards dari Australia.
Kengkard dalam hantaran di Facebook sebelum itu pada Jumaat berkata, tahap kesihatan mangsa yang terselamat semakin merosot ketika mereka menunggu untuk dibawa keluar.
“Operasi menyelamat ini amat mencabar kerana ia melibatkan usaha membawa mereka melalui laluan sempit sejauh ratusan meter dan memerlukan selaman di bawah air,” katanya.
Terdahulu pada hari sama, pasukan penyelamat Thailand dilihat menjalani latihan prosedur membawa keluar mangsa di luar gua menggunakan pengusung, tali dan kabel.
Pejabat meteorologi Laos meramalkan ribut petir pada petang dan malam Jumaat, dengan hujan dijangka berlaku di 60 peratus kawasan di wilayah Xaysomboun.
Kejadian itu mengingatkan semula kepada insiden pasukan bola sepak remaja Wild Boars pada 2018, apabila mereka terperangkap selama 18 hari di sebuah gua di utara Thailand sebelum berjaya diselamatkan menerusi operasi antarabangsa berisiko tinggi yang mendapat perhatian jutaan orang di seluruh dunia.