Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Belajarlah untuk mengecewakan orang lain.”
Bunyinya agak pelik, kan? Tapi, bagi ahli psikologi, ini sebenarnya antara nasihat paling bernilai untuk wanita yang takut mengecewakan orang lain kerana tabiat memendam perasaan mungkin jejas kesihatan.
Sejak kecil, ramai wanita terbiasa dengan idea bahawa mereka perlu sentiasa memuaskan hati orang, kena sanggup berkorban dan pandai kawal emosi.
Sebab itu, nak cakap “tidak”, menolak permintaan atau sekadar menyuarakan apa yang diri sendiri perlukan pun kadang-kadang terasa susah.
Masalahnya, terlalu kerap mengetepikan diri sendiri mungkin bukan sekadar membuat kita penat tapi ia juga boleh memberi kesan kepada kesihatan.
Hampir 80 peratus kes penyakit autoimun berlaku dalam kalangan wanita dan mereka juga lebih berisiko mengalami kesakitan kronik, insomnia, fibromyalgia, long COVID, sindrom usus rengsa (IBS) dan migrain.
Bukan itu sahaja, wanita mengalami kemurungan, keresahan dan PTSD pada kadar dua kali ganda berbanding lelaki. Risiko mengalami anoreksia pula dikatakan sembilan kali lebih tinggi.
Jadi, kenapa perbezaannya begitu ketara?
Faktor genetik dan hormon sememangnya memainkan peranan, tetapi ia bukan satu-satunya sebab. Cara wanita diajar untuk mengurus emosi dan hubungan juga mungkin memberi kesan.
Pada 1980-an, ahli psikologi Dana Jack memperkenalkan istilah “self-silencing”, iaitu kecenderungan untuk memendam perasaan dan keperluan sendiri demi menjaga hati orang lain serta mengelakkan konflik.
Mudahnya, kita tahu kita tak suka sesuatu, tetapi tetap kata “tak apa”.
Kita penat, tetapi tetap kata “saya boleh”.
Kita marah, tetapi memilih untuk diam.
Kajian mendapati tabiat ini bukan sahaja dikaitkan dengan masalah seperti kemurungan dan gangguan pemakanan, malah turut mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan fizikal.
Dalam satu kajian, wanita yang cenderung memendam kemarahan mempunyai risiko 70 peratus lebih tinggi mengalami aterosklerosis karotid, iaitu pembentukan plak pada saluran darah yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung.
Lebih mengejutkan, memendam perasaan juga dikaitkan dengan kematian pramatang.
Satu kajian selama 10 tahun terhadap hampir 4,000 individu mendapati wanita yang tidak meluahkan perasaan ketika bergaduh dengan pasangan mempunyai risiko empat kali ganda lebih tinggi untuk meninggal dunia berbanding wanita yang menyuarakan perasaan mereka.
Pertama, belajar untuk mendengar emosi sendiri.
Marah, kecewa atau sedih bukan semata-mata emosi yang perlu “dibuang”. Kadangkala, ia sedang memberitahu kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena.
Daripada terus memendam, cuba tanya diri sendiri: “Apa sebenarnya yang saya perlukan sekarang?”
Kedua, belajar menetapkan batasan yang sihat.
Berkata “tidak” tidak menjadikan kita orang jahat. Menyuarakan keperluan sendiri juga tidak bermaksud kita pentingkan diri. Malah, komunikasi yang jujur boleh membantu membina hubungan yang lebih sihat.
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti menganggap wanita yang baik ialah wanita yang sentiasa mengutamakan semua orang kecuali dirinya sendiri. Kita kena ingat, enjaga hati orang lain itu memang baik, tetapi menjaga diri sendiri itu pun sama penting.