Pernah tak tengah seronok berehat pada Ahad petang, tiba-tiba rasa gelisah apabila teringat esok sudah Isnin dan perlu bekerja semula?
Belum pun masuk pejabat, fikiran sudah melayang kepada e-mel yang belum dibalas, mesyuarat yang menanti dan tugasan tertangguh sejak Jumaat lalu.
Bahu mula terasa tegang, perut rasa tak selesa dan fikiran pula sibuk membayangkan perkara yang mungkin berlaku sebaik sahaja minggu kerja bermula.
Perasaan ini dikenali sebagai Sunday scaries, iaitu keresahan yang muncul apabila hujung minggu hampir berakhir dan kita mula memikirkan tanggungjawab pada minggu berikutnya.
Ramai Alami Perasaan Tak Sedap Hati Bila Ahad
Menurut tinjauan Adobe pada 2025 terhadap 1,004 pekerja sepenuh masa di Amerika Syarikat, sebanyak 82 peratus responden pernah mengalami Sunday scaries.
Lebih membimbangkan, 42 peratus mengakui perasaan tersebut menyebabkan mereka sukar tidur, manakala 35 peratus mengalami gejala fizikal seperti sakit kepala, ketegangan badan dan keletihan.
Walaupun namanya kedengaran ringan, keresahan ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan cara otak bertindak balas terhadap tekanan dan perkara yang bakal berlaku.
Alexander J. Shackman, profesor psikologi di Universiti Maryland yang mengkaji ketakutan serta keresahan, menjelaskan bahawa rasa gementar pada Ahad boleh membantu seseorang membuat persediaan.
Menurutnya, perasaan itu memberi peluang untuk menilai perkara yang sudah berlaku, mengenal pasti cabaran mendatang dan merancang tindakan yang bersesuaian.
Masalah timbul apabila keresahan tersebut semakin sukar dikawal sehingga mengganggu waktu rehat dan membuatkan seseorang terus memikirkan kerja sepanjang hujung minggu.
Kenapa Perasaan Ini Selalu Muncul Pada Ahad?
Antara sebabnya ialah perubahan suasana daripada kebebasan hujung minggu kepada rutin kerja yang menanti pada keesokan harinya.
Hari Sabtu biasanya menjadi waktu untuk berehat dan melakukan perkara yang disukai, manakala menjelang Selasa, kebanyakan orang sudah mula menyesuaikan diri dengan jadual kerja.
Ahad pula berada di tengah-tengah kedua-dua keadaan tersebut, sekali gus membuatkan sesetengah orang mula memikirkan tanggungjawab yang bakal dihadapi.
Menurut tinjauan Adobe yang sama, keletihan melampau atau burnout menjadi pencetus paling banyak dilaporkan, melibatkan 55 peratus responden.
Beban kerja yang tinggi menyusul dengan 50 peratus, diikuti tarikh akhir projek dan persekitaran kerja yang tidak sihat.

Apa Yang Berlaku Dalam Otak Ketika Kita Gelisah?
Kajian pada 2025 yang diterbitkan dalam Journal of Neuroscience melibatkan imbasan otak 220 orang dewasa untuk memahami tindak balas manusia ketika menjangkakan ancaman.
Penyelidik mendapati beberapa bahagian otak bekerjasama mengesan kemungkinan bahaya dan menyediakan tubuh untuk menghadapi situasi yang dianggap mencabar.
Salah satu bahagian tersebut ialah extended amygdala, yang terlibat dalam tindak balas terhadap ancaman, termasuk situasi tidak menentu yang belum berlaku.
Sebab itulah tugasan yang belum bermula pun boleh terasa mendesak, walaupun kita masih mempunyai masa untuk membuat persediaan sebelum bekerja.
Bahagian korteks prefrontal pula membantu proses perancangan dan membuat keputusan, termasuk menentukan tugasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, memikirkan perkara sama berulang kali tanpa mencari penyelesaian boleh menyebabkan kebimbangan berpanjangan dan bukannya membantu kita bersedia.
Bagaimana Nak Kurangkan Sunday Scaries?
1. Susun Tugasan Untuk Minggu Hadapan
Luangkan sedikit masa untuk menyemak jadual minggu hadapan, mengenal pasti perkara penting dan mencatat tugasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Selepas semuanya dicatat, berhenti memikirkan kerja buat sementara waktu supaya fikiran tidak terus berpusing pada perkara yang sama sepanjang hari.
2. Jangan Habiskan Ahad Dengan Memikirkan Kerja
Pastikan hujung minggu masih mempunyai ruang untuk berehat dan melakukan aktiviti yang membuatkan diri berasa lebih tenang selepas penat bekerja.
Kajian pada 2022 terhadap guru di Jepun mendapati rehat yang lebih baik sepanjang hujung minggu dikaitkan dengan pengurangan tekanan psikologi.
3. Gerakkan Badan Untuk Legakan Tekanan
Berjalan kaki, berjoging atau melakukan senaman ringan boleh membantu mengalihkan perhatian daripada fikiran yang berserabut kepada aktiviti fizikal.
Tidak perlu bersenam terlalu lama kerana matlamatnya adalah untuk mengurangkan keresahan, bukannya menambah satu lagi perkara yang perlu diselesaikan.
4. Jaga Waktu Tidur Pada Ahad Malam
Jika memeriksa e-mel kerja membuatkan fikiran semakin kusut, tetapkan waktu tertentu untuk berhenti memikirkan urusan pejabat sebelum tidur.
Tidur yang mencukupi penting kerana keresahan menjelang sesuatu peristiwa boleh mengganggu rehat, sekali gus membuatkan badan berasa lebih letih pada keesokan harinya.
Bagaimanapun, jika keresahan berlaku setiap minggu sehingga mengganggu tidur, waktu rehat atau kehidupan seharian, mendapatkan bantuan profesional boleh menjadi langkah yang wajar.
Shackman turut menjelaskan bahawa sesetengah keadaan mungkin memerlukan perubahan pekerjaan atau perbincangan semula mengenai beban kerja, terutama apabila persekitaran kerja menjadi punca tekanan.
Akhirnya, rasa risau menjelang Isnin tidak semestinya sesuatu yang buruk, tetapi hujung minggu juga perlu menjadi ruang untuk kita berehat dan menikmati kehidupan.

