Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SDYIC 2026 Perluas Fokus AI, Libat 3,991 Pelajar Dari 519 Sekolah

Sime Darby Young Innovators Challenge (SDYIC) 2026 menutup tirai edisi ke-11 dengan memberi penekanan lebih besar kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), apabila 15 pasukan finalis membangunkan penyelesaian berasaskan teknologi bagi menangani cabaran dunia sebenar.

Program anjuran Yayasan Sime Darby (YSD) dengan kerjasama Chumbaka Sdn Bhd serta sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) itu melibatkan 3,991 pelajar daripada 519 sekolah di seluruh negara, termasuk 125 sekolah luar bandar.

Pelajar perempuan merangkumi 49 peratus daripada keseluruhan peserta.

Bertemakan “Help a Cause, Change the World – Using AI for Social Good”, SDYIC 2026 memperkenalkan format baharu di peringkat kebangsaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian berasaskan AI serta pengupayaan guru.

Berbeza dengan edisi terdahulu yang menyaksikan finalis kebangsaan menambah baik projek sedia ada, National Innovation Summit tahun ini memperkenalkan format hackathon AI.

Menerusi pendekatan itu, 15 pasukan finalis diberikan cabaran sebenar yang dihadapi rakan seni dan budaya YSD sebelum ditugaskan membangunkan penyelesaian berasaskan teknologi.

Kesemua pasukan finalis mewakili sekolah dari 10 negeri dengan Sarawak mencatat penyertaan tertinggi membabitkan empat pasukan, diikuti Melaka dan Perak masing-masing dua pasukan.

Finalis lain pula mewakili Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu.

Pengerusi YSD Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar berkata sepanjang 11 tahun penganjurannya, SDYIC telah memperkasakan golongan muda Malaysia untuk menggunakan pengetahuan dan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam menyelesaikan cabaran sebenar.

“Pada tahun ini, finalis kami menangani isu yang dikemukakan rakan seni dan budaya YSD, sekali gus menunjukkan bagaimana teknologi, kreativiti dan pemikiran berpusatkan manusia boleh digabungkan untuk menghasilkan penyelesaian bermakna.

“Di YSD, kami percaya pendedahan golongan muda kepada sains dan seni dapat membantu melahirkan individu yang seimbang, inovatif serta mempunyai matlamat,” katanya.

Beliau berkata peranan guru juga penting dalam memastikan pembelajaran STEM dapat diteruskan dan diperluaskan di sekolah serta komuniti.

Menurut beliau, menerusi Program Aspirasi STEM SDYIC 2026, guru diberikan sokongan untuk menerajui inisiatif STEM yang bermakna dan mampan, sekali gus memperluas impak pembelajaran melebihi skop pertandingan.

National Innovation Summit berlangsung dari 24 hingga 28 Sept dengan 15 pasukan finalis berinteraksi secara langsung dengan rakan seni dan budaya YSD untuk memahami cabaran yang diberikan.

Mereka kemudian bekerjasama dengan organisasi terbabit, mentor dan wakil industri untuk membangunkan serta menguji penyelesaian berasaskan AI melalui hackathon sebelum membentangkan hasil masing-masing kepada panel juri pada Grand Finale.

Selain format baharu untuk pelajar, SDYIC 2026 turut meningkatkan tumpuan terhadap pembangunan guru sebagai pemacu pembelajaran STEM jangka panjang.

Kira-kira 600 guru, pelajar prasiswazah dan alumni SDYIC menyertai Mentor Development Programme dari Januari hingga Mei 2026 yang merangkumi bengkel fizikal di 15 lokasi, pembelajaran dalam talian serta penglibatan berterusan sepanjang program.

Pendekatan itu memperluas model Train-the-Trainers yang digunakan sebelum ini dengan memberikan sokongan lebih berterusan serta pendedahan kepada pembelajaran berkaitan AI.

Pada National Innovation Summit pula, 15 guru menyertai laluan khas STEM Aspiration untuk membangunkan dan membentangkan cadangan inisiatif STEM bagi sekolah dan komuniti masing-masing.

Tiga guru dipilih menerima YSD STEM Aspiration Grants bernilai RM10,000 setiap seorang untuk melaksanakan inisiatif yang dicadangkan, manakala satu Anugerah Kepimpinan Khas turut diberikan kepada guru yang menunjukkan kepimpinan cemerlang sepanjang program.

Bagi kategori pelajar, tiga pasukan menerima YSD Innovation Grants bagi penyelesaian inovatif yang dibangunkan semasa National Innovation Summit.

Geran itu membolehkan pasukan berkenaan meneruskan kerjasama dengan rakan terlibat untuk memperincikan penyelesaian sebelum dibangunkan pada skala lebih besar dan dilaksanakan.

Antara inovasi pemenang terdahulu SDYIC ialah Robin Food yang membantu mengagihkan lebih 218,000 kilogram lebihan makanan kepada komuniti memerlukan, serta Mykroscope, perkakasan sumber terbuka berdaftar pertama Malaysia dengan lebih 2,000 unit dihasilkan dan diagihkan kepada 200 sekolah terpilih di seluruh negara.

Selaras dengan peningkatan fokus terhadap AI, sekolah yang mengambil bahagian turut menerima Edge Computing Kits bagi membolehkan pelajar meneroka aplikasi lebih maju termasuk pemprosesan imej, robotik, pengecaman suara dan integrasi sensor.

Sejak SDYIC diperkenalkan pada 2016, seramai 28,041 pelajar sekolah menengah, 3,242 guru, 2,612 pelajar prasiswazah dan 53 pegawai inovasi telah menyertai program itu.

YSD memperuntukkan RM8.24 juta sepanjang 11 tahun pelaksanaan program itu, termasuk RM890,000 bagi edisi 2026.

Kandungan pembelajaran SDYIC turut disediakan menerusi platform DELIMa KPM, manakala pembelajaran STEM untuk guru disokong melalui LADAP Plus oleh PEMIMPIN GSL.

YSD merupakan cabang filantropi Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad dan Sime Darby Property Berhad.

Intipati
  • SDYIC 2026 melibatkan 3,991 pelajar daripada 519 sekolah, termasuk 125 sekolah luar bandar.
  • Edisi ke-11 memperkenalkan format hackathon AI bagi 15 pasukan finalis kebangsaan.
  • YSD memperuntukkan RM890,000 bagi edisi 2026, daripada jumlah RM8.24 juta sejak 2016.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan