ASEAN Foundation mengumumkan fasa baharu AI Ready ASEAN Powered by AI Opportunity Fund: Asia-Pacific, yang menyasarkan untuk melengkapkan lebih 1.7 juta pelajar, guru sekolah K-12 dan tenaga pengajar universiti di rantau ASEAN dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI) yang praktikal.
Inisiatif itu diperkenalkan dalam Sesi Terbuka Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Pendidikan Ke-21 (SOM-ED), dengan kerjasama AVPN serta sokongan Google.org dan Asian Development Bank (ADB).
Program yang akan berlangsung sehingga akhir 2028 itu merupakan kesinambungan kejayaan AI Ready ASEAN dalam tempoh dua tahun lalu, namun kali ini memberi tumpuan lebih kepada latihan praktikal bagi membantu pelajar dan pendidik menggunakan AI secara bertanggungjawab dalam pembelajaran, pengajaran, penyelidikan serta persediaan menghadapi dunia pekerjaan.
Di bawah program berkenaan, ASEAN Foundation akan bekerjasama dengan rakan pelaksana tempatan di negara-negara anggota ASEAN bagi membangunkan kurikulum mengikut konteks tempatan serta melaksanakan latihan AI untuk guru, pelajar institusi pengajian tinggi dan tenaga pengajar.
Kerjasama turut dijalankan bersama kementerian pendidikan setiap negara bagi memastikan program selari dengan keutamaan pendidikan dan AI di peringkat nasional, selain melengkapkan inisiatif sedia ada.
Pengarah Eksekutif ASEAN Foundation, Dr Piti Srisangnam berkata, fasa baharu itu akan bergerak melangkaui usaha meningkatkan kesedaran kepada pembangunan kemahiran AI praktikal.
Menurutnya, ia penting bagi membolehkan guru dan pelajar menggunakan teknologi AI dengan lebih bertanggungjawab dan yakin, selain mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan di rantau ASEAN.
Selain latihan, ASEAN Foundation turut akan mengadakan sesi pertemuan di peringkat serantau dan nasional melibatkan kerajaan, pengamal AI, ahli akademik, organisasi masyarakat sivil, media serta pihak berkepentingan lain bagi berkongsi pengetahuan dan membantu membentuk dasar pendidikan AI berasaskan bukti.
Sesi 4th Regional Convening dijadualkan berlangsung pada Disember 2026 di Singapura.
Program AI Ready ASEAN ini juga selari dengan keutamaan ASEAN bagi tempoh 2026 hingga 2030, termasuk usaha memperluas akses kepada pembelajaran digital, meningkatkan daya saing tenaga kerja serta menggalakkan penggunaan AI dan teknologi baharu secara bertanggungjawab.
