Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Saya Terus Bantu,” Pengerusi MARA Hulur Bantuan Kepada Anak Yatim Piatu Cemerlang SPM

pengerusi mara hulur bantuan
Kredit: Bernama

“Saya Terus Bantu,” Pengerusi MARA Hulur Bantuan Kepada Anak Yatim Piatu Cemerlang SPM

Hasrat seorang anak yatim piatu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian akhirnya menjadi kenyataan selepas menerima bantuan daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi hantaran video di Facebook, Asyraf Wajdi memaklumkan remaja terbabit, Auni Batrisyia A Rahman Siyutti sebelum itu hadir ke Pejabat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pengkalan Hulu untuk mendapatkan bantuan.

Menurut beliau, pihaknya dihubungi pegawai pejabat berkenaan yang memaklumkan Auni datang meminta pertolongan bagi mengisi minyak motosikal serta sedikit wang belanja untuk mendaftarkan diri di sebuah politeknik di Kedah Ahad depan.

“Saya terus hubungi Pengarah TVETMARA Seberang Perai Utara, Tuan Ir. Rahim Selamat untuk daftarkan Auni dalam program Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik.

“Bidang pengajian ini mempunyai laluan sehingga ke peringkat ijazah di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) dengan tambahan empat sijil kompetensi yang diiktiraf industri,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata Auni kehilangan bapanya pada tahun 2015 manakala ibunya pula meninggal dunia ketika pandemik COVID-19 pada tahun 2022.

Menurut beliau, remaja itu kini tinggal bersendirian di rumah pusaka keluarganya di Kampung Air Panas, Gerik.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, Auni berjaya memperoleh keputusan SPM 2025 yang agak cemerlang.

“Melihat kecekalan Auni untuk menuntut ilmu, saya menawarkan untuk mengambilnya sebagai anak angkat saya.

“Ia bagi memudahkan saya dan isteri memantau prestasi pendidikannya di samping menampung sedikit sebanyak keperluan kehidupannya,” katanya.

Tambah beliau, melalui institusi TVETMARA dalam bidang elektrik, Auni berpeluang membina kerjaya profesional dengan pendapatan yang baik pada masa akan datang.

Katanya, peluang itu diyakini mampu mengubah nasib remaja berkenaan ke arah kehidupan yang lebih baik.