Sarawak mencatat satu lagi perkembangan dalam industri semikonduktor apabila memperkenalkan cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka bentuk secara tempatan, dikenali sebagai keteq.GaN.
Teknologi itu diperkenalkan sempena pembukaan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2026 (IDECS26), pada Isnin.

Dibangunkan oleh Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd, Modul Kuasa keteq.GaN dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
keteq.GaN dibangunkan bagi kegunaan elektronik kuasa generasi akan datang, termasuk infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga bateri, grid pintar serta pengubah keadaan pepejal pada masa hadapan.
Menurut SMD Semiconductor dalam satu kenyataan, Abang Zohari berkata pembangunan tersebut mencerminkan perubahan penting dalam peranan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor, khususnya usaha negeri itu membangunkan teknologi dan harta intelek sendiri.
Katanya, Sarawak telah membangunkan asas dalam pelbagai bidang sejak beberapa tahun lalu termasuk sumber tenaga, keupayaan perindustrian, pembuatan semikonduktor serta pembangunan bakat.
“Apa yang kita lihat hari ini merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan itu, iaitu keupayaan membangunkan teknologi semikonduktor di sini serta mewujudkan harta intelek yang berasal dari Sarawak,” katanya.
Jelasnya, pembangunan keteq.GaN turut menunjukkan keupayaan Sarawak untuk bergerak melangkaui bidang pembuatan semikonduktor dengan menghasilkan teknologi sendiri bagi kegunaan industri serta pasaran di luar negeri.
Bawa Teknologi Kepada Aplikasi Sebenar
Sementara itu, Pengerusi SMD Semiconductor merangkap Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata, pelancaran berkenaan merupakan satu lagi pencapaian dalam perkembangan syarikat itu sejak ditubuhkan empat tahun lalu.
Menurutnya, tumpuan kini diberikan kepada usaha membawa teknologi tersebut daripada peringkat reka bentuk kepada aplikasi sebenar, sekali gus mewujudkan nilai lebih besar kepada industri semikonduktor Sarawak.
“Bagi SMD, ini adalah mengenai membawa apa yang telah kita bangunkan dan menghubungkannya dengan keperluan sebenar industri.
“Ketika Sarawak memperkukuh ekosistem semikonduktor dan foundri, kita mahu melihat lebih banyak teknologi yang dibangunkan di sini menghasilkan nilai yang lebih besar kepada industri,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil pula berkata, keteq.GaN dibangunkan bagi memenuhi keperluan aplikasi elektronik kuasa yang semakin memberikan penekanan terhadap aspek kecekapan dan pengurusan tenaga.
Susulan pelancaran tersebut, SMD Semiconductor bersama Microelectronics Research and Development Institute (MRDI) Hong Kong dan Gobi Partners turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri.
Sesi berkenaan bertujuan bertukar pandangan mengenai keupayaan, keperluan dan peluang dalam industri, selain meneroka potensi kerjasama bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor dan foundri Sarawak.

