Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SARA Dicadang Diperluas Kepada Buah-Buahan, Sayur dan Protein Segar

SARA
Kredit: Facebook Zahid Hamidi

Usaha membantu rakyat mendapatkan makanan lebih sihat bakal diperkasa apabila skop Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dicadang diperluas merangkumi buah-buahan, sayur-sayuran serta sumber protein segar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan berkenaan dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini sebelum diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan bantuan kerajaan bukan sekadar meningkatkan kuasa beli rakyat, malah membantu mereka mendapatkan makanan yang lebih berkhasiat.

“Saya menegaskan isu kos sara hidup tidak boleh dilihat semata-mata daripada harga barang di rak pasar raya, ia perlu ditangani secara menyeluruh daripada kos pengeluaran dan rantaian bekalan, kemampuan membeli makanan berkhasiat, kos kesihatan dan pendidikan sehinggalah kepada perlindungan terhadap golongan rentan.

“Sebab itu, setiap dasar mesti dinilai berdasarkan kesannya kepada kehidupan sebenar rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat turut meneliti hala tuju Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memastikan kepentingan pengguna dapat diseimbangkan dengan kelangsungan industri padi dan beras tempatan.

Jelasnya, antara perkara yang diberi perhatian ialah cadangan mekanisme peralihan atau soft landing menerusi program beras bersubsidi bagi memastikan golongan rentan terus dilindungi sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut mengambil serius tekanan kos yang dihadapi sektor perniagaan, logistik dan agromakanan.

“Perkembangan geopolitik termasuk ketidaktentuan di Asia Barat, kos pematuhan import serta kesan penyasaran subsidi terhadap kos pengeluaran makanan perlu terus dipantau supaya ia tidak diterjemahkan kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna.

“Agensi berkaitan sudah diminta terus memperhalusi mekanisme sedia ada termasuk bantuan bersasar kepada petani, nelayan dan kumpulan yang terkesan,” katanya.

Bagi sektor kesihatan pula, Ahmad Zahid berkata mesyuarat mengambil maklum kemajuan 11 inisiatif RESET yang sedang dilaksanakan bagi membantu menangani kos penjagaan kesihatan swasta, selain memperluas akses serta memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Katanya, usaha itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan menerusi Pelan Tindakan Kos Sara Hidup 2030 bagi menangani tekanan kos kehidupan merentas pelbagai sektor.

“Kerajaan juga kekal komited memastikan kos pendidikan tidak menjadi penghalang kepada pembangunan modal insan.

“Berdasarkan pemetaan 13 program bantuan pendidikan tertiari, seramai 62,937 pelajar Tingkatan Enam dan universiti menerima bantuan pada tahun 2025 dengan nilai keseluruhan RM589.6 juta.

“Bantuan seperti ini perlu terus diperkukuh supaya anak-anak daripada setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang yang saksama untuk melanjutkan pendidikan,” katanya.

Intipati
  • Jawatankuasa Eksekutif NACCOL bersetuju mencadangkan perluasan SARA kepada buah, sayur dan protein segar.
  • Mesyuarat meneliti hala tuju BPT, termasuk cadangan soft landing melalui program beras bersubsidi.
  • Ahmad Zahid berkata 62,937 pelajar menerima bantuan pendidikan tertiari bernilai RM589.6 juta pada 2025.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan