Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sakit Perut Biasa Atau Gastrik? Ini Cara Nak Bezakan Tanda Sakit Gastrik Angin
Pernah tak anda rasa sakit perut secara tiba-tiba selepas makan sesuatu? Ada masanya rasa memulas, loya, malah ada juga yang terus menyalahkan makanan yang dimakan kerana bimbang mengalami keracunan makanan.
Dalam situasi lain pula, ada yang mula terasa pedih atau tidak selesa di bahagian perut apabila lewat makan, lalu menganggap ia sekadar “gastrik”.
Hakikatnya, ramai yang masih keliru antara sakit perut biasa, keracunan makanan dan gastrik kerana simptomnya kadangkala hampir sama.
Ada yang terus makan ubat tanpa mengetahui punca sebenar, sedangkan setiap masalah ini mempunyai tanda dan penyebab yang berbeza.
Justeru, SK kali ini akan membantu anda memahami perbezaan antara sakit perut biasa dan gastrik supaya anda lebih peka terhadap keadaan tubuh sendiri, menurut Hello Doktor.
Biasanya individu dengan gastrik atau dalam istilah perubatan disebut gastritis akan mengadu rasa sakit menyucuk pada perut. Ia boleh bertambah baik mahupun bertambah buruk selepas makan atau muntah.
Mereka juga akan mengalami rasa ketidakselesaan pada bahagian atas perut dan tepat di bawah tulang dada.

Bagi kes gastrik teruk, mereka akan mengadu sakit dada, sesak nafas, lemah atau sukar menelan makanan atau minuman dan demam panas. Keadaan ini memerlukan rawatan perubatan segera!
Pening dan muntah
Perut kembung
Senak
Sensasi terbakar antara waktu makan atau pada waktu malam
Tersedu yang teruk
Hilang selera makan
Muntah darah atau keluar cecair kehitaman
Najis hitam
Beza antara gastritis @ gastroenteritis
Sering berlaku kekeliruan antara tanda sakit gastrik angin dan gastroenteritis. Keduanya adalah keadaan yang berbeza.
Gastroenteritis – Keradangan (kerengsaan) perut dan usus disebabkan jangkitan
Gastritis – Keradangan lapisan perut dan jarang disebabkan oleh jangkitan
Masalah gastrik angin
Kenapa gastrik muntah?
Gastrik adalah keadaan di mana lapisan perut menjadi merah dan bengkak atas pelbagai sebab.
Lapisan perut menghasilkan asid dan bahan lain yang berfungsi memecahkan nutrien makanan. Ia juga menghasilkan lendir bagi melindungi perut daripada asid yang dihasilkannya.

Bagi kebanyakan individu, kesan gastrik tidak serius dan dapat sembuh jika dirawat. Namun jika gastritis tidak dirawat, ia boleh berlanjutan selama bertahun-tahun.
Memahami punca bagi tanda sakit gastrik angin
Antara punca gastritis adalah:
Kerap makan makanan pedas sehingga mengganggu lapisan perut
Jangkitan bakteria hidup, Helicobacter pylori (H.pylori) pada lapisan lendir perut. Tanpa rawatan, ia boleh mengakibatkan ulser dan barah perut
Refluks hempedu – Jus pencernaan, dikenali sebagai hempedu berpatah balik ke perut daripada saluran hempedu yang menghubungkan hati dan pundi hempedu
Pengambilan alkohol dan dadah terlarang secara berlebihan
Tabiat merokok
Pengambilan ubat antiradang non-steroid (NSAID) secara kerap seperti aspirin, ibuprofen atau ubat tahan sakit lain
Tekanan daripada kecederaan teruk, penyakit kritikal, tertelan racun secara sengaja atau tidak dan pembedahan utama
Tindak balas autoimun apabila sistem imun menyerang sel dan tisu badan sendiri (lapisan perut)
Anemia pernisius – Bentuk anemia yang berlaku ketika perut tidak dapat mencerna vitamin B12 dan menyebabkan kerengsaan lapisan perut, salah satu kesan gastrik
Individu berusia lebih berisiko mengalami gastritis kerana lapisan perut cenderung menipis seiring pertambahan usia dan lebih mudah mengalami jangkitan H.pylori atau gangguan autoimun
Masalah kesihatan lain seperti HIV/AIDS, penyakit Crohn dan jangkitan parasit
Merawat sakit gastrik angin
Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan jumlah asid dalam perut bagi melegakan simptom dan tanda sakit gastrik angin.

Selain itu, ia juga membantu lapisan perut sembuh dan mengatasi punca yang menyebabkannya.
Ubatan bantu atasi kesan gastrik
Antasid – Bantu meneutralkan asid dalam perut dan meredakan rasa sakit dengan cepat
Penyekat histamin 2 (H2) -Mengurangkan pengeluaran asid bagi membolehkan lapisan perut sembuh
Perencat pam proton (PPI) – Mengurangkan pengeluaran asid lebih berkesan berbanding penyekat H2
Jika gastritis punca anemia pernisius, pengambilan vitamin B12 mungkin diberikan
Gastrik yang berpunca daripada jangkitan H.pylori akan diberikan preskripsi antibiotik dan ubat penghalang asid – untuk mengatasi pedih ulu hati
Perubahan gaya hidup & diet cegah masalah gastrik angin
Hindari makanan pedas, berasid atau bergoreng serta elakkan makanan merengsakan seperti laktosa daripada produk tenusu atau gluten daripada gandum
Pastikan saiz hidangan kecil dan makan dengan kerap
Elakkan atau kurangkan alkohol dan berhenti merokok
Komplikasi
Gastrik teruk boleh menyakitkan lapisan perut serta meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti:
Penyakit ulser peptik – Mengakibatkan luka menyakitkan pada saluran penghadaman atas
Polip gastrik -Sel kecil yang terbentuk pada lapisan dalam perut
Kanser perut – Boleh menjadi agresif atau tidak. Kesan gastrik disebabkan H.pylori meningkatkan risiko barah perut
Gastritis atrofik – Berlaku jika gastrik disebabkan bakteria H.pylori atau gangguan autoimun. Selain menyebabkan kadar vitamin tertentu rendah dalam darah, ia juga merosakkan sel lapisan perut yang menghasilkan jus pencernaan, sekali gus meningkatkan risiko barah perut
Mencegah tanda sakit gastrik angin
Para saintis belum mengkaji sepenuhnya faktor yang boleh mengakibatkan sakit gastrik angin. Oleh sebab itu, agak sukar untuk mencegah keadaan ini.
Walau bagaimanapun, seseorang individu boleh mengurangkan risiko mengalami gastritis dengan:
Mengamalkan tahap penjagaan kebersihan tangan yang baik
Makan makanan yang dimasak sepenuhnya
Mengelakkan ubat-ubatan yang boleh merengsakan perut
Kini anda telah tahu tanda sakit gastrik angin.