Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rupanya Malaysia Juga Terkenal Dengan Watak Lanun 'Sandokan' Di Jerman

Malaysia Terkenal Dengan 'Sandokan'
Kredit: Flix Update

Apabila bercakap tentang Malaysia, mungkin ramai membayangkan Menara Berkembar Petronas, nasi lemak dan pelbagai destinasi pelancongan menarik.

Namun, bagi penduduk negara lain, ada perkara unik yang turut membuatkan mereka mengingati Malaysia, termasuk watak fiksyen yang mungkin tidak begitu dikenali rakyat tempatan.

Perkara itu dikongsikan seorang lelaki warga Jerman, Frank, yang kini menetap di Malaysia menerusi satu hantaran mengenai perkara yang membuatkan negaranya mengenali Malaysia.

Menurutnya, Malaysia sering dikaitkan dengan tiga perkara di Jerman iaitu harimau, perlumbaan Formula Satu (F1) dan watak lanun terkenal bernama Sandokan.

Malaysia Juga Terkenal Dengan Watak Lanun 'Sandokan'

“Sebagai seorang warga Jerman yang menetap di Malaysia, saya ingin berkongsi perkara yang membuatkan Malaysia dikenali di Jerman. Antaranya ialah harimau, Formula 1 dan juga Sandokan!

“Sandokan merupakan watak lanun terkenal dalam sebuah filem yang dikenali sebagai Harimau Malaysia. Anda tahu tentangnya?” katanya.

Meninjau ruangan komen, rupanya ramai rakyat Malaysia sendiri yang tidak mengetahui tentang watak Sandokan dan kisahnya.

Membalas pertanyaan seorang pengguna, Frank menjelaskan bahawa kisah tersebut cukup popular di seluruh Eropah, khususnya dalam kalangan masyarakat Itali dan Jerman.

“Penulis novel Sandokan, Emilio Salgari, berasal dari Itali, manakala siri televisyen yang diterbitkan pada 1976 merupakan hasil kerjasama produksi Itali dan Jerman.

“Siri itu menjadi karya klasik yang cukup popular di seluruh Eropah, terutama di Itali dan Jerman,” ujarnya.

Tambahnya, imej harimau yang sinonim dengan Malaysia turut menguatkan kaitan negara ini dengan watak Sandokan menerusi gelaran Tiger of Malaysia atau Harimau Malaysia.

“Di Jerman, apabila orang memikirkan hidupan liar Asia Tenggara, Harimau Malaya antara haiwan yang cukup ikonik. Tambahan pula, gelaran popular 'Tiger of Malaysia' daripada budaya popular membuatkan nama itu terus diingati,” jelasnya.

Untuk pengetahuan, Sandokan merupakan watak lanun fiksyen ciptaan penulis Itali, Emilio Salgari, menerusi novel pengembaraan berjudul La Tigre della Malesia.

Novel tersebut mula diterbitkan secara bersiri pada 1883 dan mengisahkan pengembaraan seorang putera dari Borneo Utara yang kehilangan kedudukan akibat campur tangan British.

Sandokan kemudiannya dikenali dengan gelaran Tiger of Malaysia atau Harimau Malaysia, selain menjadi watak utama dalam beberapa novel susulan karya Salgari.

Kisah pengembaraan Sandokan turut diadaptasi ke televisyen menerusi sebuah siri terbitan Itali pada 1976 yang menampilkan pelakon India, Kabir Bedi sebagai watak utama.

Siri arahan Sergio Sollima itu mengisahkan perjuangan Sandokan menentang penjajahan British dan turut mendapat sambutan di beberapa negara Eropah, termasuk Jerman.

Menurut penyiar Jerman, Südwestrundfunk (SWR), siri tersebut mula ditayangkan di televisyen negara itu pada 21 April 1979.

Popularitinya turut menyaksikan kisah Sandokan diperkenalkan kepada penonton menerusi format lain, termasuk edisi filem pendek Super 8 yang diedarkan sebuah syarikat Jerman pada 1979.

Perkara itu turut dibincangkan penyelidik Nicole Braida dalam kajiannya mengenai pengedaran siri Sandokan ke pasaran antarabangsa.

Walaupun Sandokan hanyalah watak rekaan, pengembaraannya menjadikan Borneo dan rantau Nusantara sebahagian daripada latar kisah yang dikenali penonton antarabangsa.

Intipati
  • Frank berkata Malaysia dikenali di Jerman melalui harimau, Formula Satu dan Sandokan.
  • Sandokan ialah watak fiksyen ciptaan Emilio Salgari dalam novel La Tigre della Malesia.
  • Siri televisyen Sandokan 1976 mendapat sambutan di Eropah, termasuk tayangan di Jerman.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan