Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nahas Kereta Api Di Sepanyol, Kedutaan Malaysia Belum Terima Pengesahan Rakyat Malaysia Terjejas

NAHAS
Kredit: AFP

Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang memantau perkembangan nahas membabitkan dua kereta api penumpang berkelajuan tinggi di Sepanyol yang dilaporkan mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak kedutaan setakat ini belum menerima pengesahan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas dalam kejadian berhampiran Urda, Toledo.

Menurut kenyataan itu, kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol serta pengendali perkhidmatan kereta api bagi mengenal pasti sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan penumpang yang terlibat.

Usaha itu turut dilakukan bagi menyelaras bantuan konsular sekiranya diperlukan.

Wisma Putra memaklumkan, perlanggaran dua kereta api penumpang berkelajuan tinggi itu berlaku kira-kira jam 8.54 pagi waktu tempatan, manakala operasi menyelamat masih diteruskan.

Susulan insiden berkenaan, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan Andalusia dilaporkan digantung.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang sedang berada di Sepanyol, khususnya mereka yang merancang menggunakan perkhidmatan kereta api terjejas, dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terkini terus daripada pengendali masing-masing.

Mereka juga disaran membuat pengaturan perjalanan alternatif sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang mungkin terjejas atau mempunyai maklumat mengenai warga Malaysia yang berkemungkinan terlibat supaya menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid bagi membantu proses pengesahan dan penyaluran bantuan konsular.

Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Sepanyol turut digalakkan mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular.

Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam Kedutaan Besar Malaysia di Madrid menerusi +34 659 894 943.

Pertanyaan am pula boleh dikemukakan melalui talian +34 91 555 0684 atau +34 91 555 0737, selain e-mel [email protected].

Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan nahas berkenaan dan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu.

Intipati
  • Kedutaan Malaysia di Madrid sedang memantau nahas dua kereta api berkelajuan tinggi.
  • Wisma Putra belum menerima pengesahan mengenai rakyat Malaysia terjejas dalam kejadian itu.
  • Rakyat Malaysia di Sepanyol dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini dan bantuan konsular jika perlu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan