Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rekod Baharu Rupiah, Jatuh Ke Paras Terendah Dalam Sejarah

rupiah
Kredit: CNN Indonesia

Nilai mata wang rupiah Indonesia jatuh ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Ia berlaku ketika para pelabur berpusu-pusu membeli mata wang AS itu susulan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan terus menaikkan kadar faedah sehingga tahun depan, lapor AFP.

Dalam pada itu, rupiah yang mencatatkan prestasi paling buruk dalam kalangan mata wang Asia tahun ini, menyusut sehingga mencecah paras Rp18,253 (RM4.08) berbanding satu dolar AS dalam dagangan petang, sekali gus mendorong bank pusat Indonesia campur tangan bagi menyokong mata wang berkenaan.

Penyusutan itu berlaku sejurus sebelum Naib Presiden Indonesia meletakkan jawatan susulan skandal berkaitan diploma sekolah menengahnya, sekali gus menambahkan tekanan terhadap kerajaan yang sedang berdepan rasa tidak puas hati meluas dalam kalangan rakyat berhubung keadaan ekonomi, rasuah dan kebakaran hutan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Aset Monetari dan Sekuriti di Bank Indonesia, Erwin Gunawan Hutapea, berkata tekanan ke atas rupiah dan mata wang serantau sejak kebelakangan ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh jangkaan kenaikan kadar faedah yang semakin meningkat oleh bank pusat AS.

Jangkaan kenaikan kadar faedah mengukuh selepas data inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan dikeluarkan.

Keadaan ini telah melonjakkan dolar AS, seperti yang dicerminkan dalam indeks dolar AS (DXY), yang meningkat kepada 102.96 iaitu paras tertinggi sejak Mac 2025, lapor CNN Indonesia.

“Peningkatan hasil sekuriti AS juga telah menggalakkan pelabur untuk menarik balik dana daripada pasaran kewangan di negara-negara membangun,” kata Erwin dalam satu kenyataan bertulis.

Di dalam negara, Erwin berkata tekanan terhadap rupiah juga dipengaruhi oleh kebimbangan pasaran mengenai potensi penurunan taraf pengelasan pasaran saham Indonesia oleh Morgan Stanley Capital International (MSCI), dinamik ekonomi domestik dan peningkatan keperluan untuk pertukaran asing menjelang akhir tahun.

Tambah Erwin, Bank Indonesia terus mengambil langkah penstabilan untuk mengekalkan kadar pertukaran rupiah selaras dengan keadaan asasnya.

Intipati
  • Nilai rupiah Indonesia jatuh ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar AS pada Khamis.
  • Rupiah merosot sehingga Rp18,253 bagi satu dolar AS dalam dagangan petang, menurut laporan AFP.
  • Bank pusat Indonesia campur tangan selepas pelabur membeli dolar susulan jangkaan kenaikan kadar Fed.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan