Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Titik Terendah Pengangguran..." Individu Kecewa Resume Jadi Pembungkus Sate

Resume Jadi Pembungkus Sate
Kredit: @_cheeseburgerr

Pengangguran bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi, apatah lagi apabila sudah menghantar banyak permohonan kerja tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas atau panggilan temu duga.

Lebih mengecewakan apabila resume yang disediakan dengan teliti untuk mendapatkan pekerjaan akhirnya digunakan untuk tujuan lain, malah dijadikan pembungkus makanan.

Itulah yang berlaku kepada seorang pengguna Threads dari Indonesia, @_cheeseburgerr, yang meluahkan rasa kecewa selepas mendapati resumenya digunakan sebagai pembungkus sate.

Menerusi satu hantaran, dia berkongsi tangkap layar perbualannya dengan seorang individu yang memaklumkan bahawa resumenya telah digunakan sebagai kertas pembungkus sate.

Individu yang menemui resume tersebut kemudian mengambil gambar dan menghantarnya ke nombor telefon yang tertera pada dokumen berkenaan, sekali gus membolehkan resume itu kembali kepada pemiliknya, @_cheeseburgerr.

Resume Jadi Pembungkus Sate

Susulan kejadian itu, @_cheeseburgerr menyifatkannya sebagai titik terendah dalam kehidupannya sebagai seorang penganggur.

“Titik terendah pengangguran. Orang random mesej sebab resume saya sudah jadi kertas bungkus sate!” katanya.

Dia turut mengakui tidak pasti bagaimana resume berkenaan boleh sampai ke tangan penjual sate, memandangkan dirinya sudah menghadiri temu duga dengan banyak syarikat.

“Ini mungkin resume yang saya print masa dipanggil ke temu bual, dan saya tak tahu syarikat mana sebab banyak sangat temu bual,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya terhibur dengan kejadian tidak dijangka itu, malah ada yang berseloroh mengenai nasib resume berkenaan.

Dalam pada itu, ada juga yang mendoakan agar resume tersebut bukan sahaja sampai kepada penjual sate, tetapi turut menemui syarikat yang sedang mencari pekerja.

Bagaimanapun, ramai warganet turut meluahkan kebimbangan kerana resume mengandungi maklumat peribadi yang sepatutnya dikendalikan dengan cermat bagi menjaga privasi pemiliknya.

Sumber:Threads
Intipati
  • Seorang pengguna Threads Indonesia kecewa apabila resumenya ditemui sebagai pembungkus sate.
  • Individu yang menemui resume itu menghantar gambar kepada nombor telefon tertera.
  • Warganet terhibur dengan kejadian itu, namun turut bimbang mengenai privasi maklumat peribadi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan