Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rasa Lebih Gembira Dan Produktif Selepas 'Long Weekend', Rupanya Ada Penjelasan Saintifik

Produktif Selepas 'Long Weekend'
Gambar Hiasan

Bila dapat cuti panjang atau long weekend, ramai antara kita pasti berasa lebih tenang dan gembira kerana berpeluang berehat lebih lama, malah dapat melupakan seketika Monday Blues.

Namun, perasaan itu bukan sekadar kerana kita dapat tidur lebih lama atau mempunyai masa tambahan untuk berehat, sebaliknya turut mempunyai penjelasan dari sudut psikologi.

Kajian menunjukkan bahawa tempoh rehat memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan mental serta membantu seseorang kembali bekerja dengan lebih baik.

Jadi, kenapa long weekend boleh buat kita rasa macam tu?

Otak Perlukan Masa Untuk Pulih Daripada Keletihan

Antara sebabnya, kita banyak menggunakan otak sepanjang minggu bekerja, sama ada untuk memproses maklumat, membuat keputusan, menyelesaikan masalah atau menguruskan pelbagai tanggungjawab di tempat kerja.

Semua aktiviti ini memerlukan perhatian serta tenaga mental, sekali gus boleh menyebabkan kita berasa letih selepas berdepan tuntutan kerja secara berterusan.

Bila dapat cuti tambahan, kita mempunyai lebih banyak masa untuk berehat tanpa perlu memikirkan tugasan atau urusan berkaitan pekerjaan.

Keadaan ini berkait dengan konsep psychological detachment, iaitu keupayaan seseorang untuk melepaskan fikiran daripada urusan kerja ketika waktu rehat.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS ONE pada Januari 2025 mendapati bahawa keupayaan untuk menjauhkan fikiran daripada kerja mempunyai kaitan dengan kesejahteraan mental.

Ini menunjukkan bahawa berehat bukan sekadar menghentikan aktiviti fizikal, sebaliknya turut memberikan ruang kepada minda untuk pulih.

Tertunggu-Tunggu Cuti Pun Boleh Buat Kita Gembira

Selain dapat berehat, mengetahui bahawa kita bakal menikmati cuti panjang juga boleh memberikan kesan positif terhadap emosi.

Dalam psikologi, pengalaman menikmati sesuatu sebelum ia berlaku dikenali sebagai anticipatory pleasure, iaitu perasaan gembira ketika menantikan sesuatu yang menyeronokkan.

Sebab itulah perasaan kita mungkin berbeza apabila mengetahui Isnin merupakan cuti umum dan kita tidak perlu bersiap untuk bekerja.

Lebih-lebih lagi apabila cuti tersebut membolehkan kita merancang aktiviti bersama keluarga, berjumpa rakan atau melakukan perkara yang selama ini tertangguh.

Malah, mempunyai kebebasan untuk menguruskan masa sendiri turut menjadi salah satu aspek penting dalam kesejahteraan psikologi seseorang.

Kita Lebih Produktif Selepas 'Long Weekend'

Satu lagi perkara menarik ialah hubungan antara tempoh bekerja, masa rehat dan produktiviti yang semakin mendapat perhatian penyelidik.

Pada Januari 2025, jurnal Trends in Cognitive Sciences menerbitkan ulasan penyelidikan mengenai bagaimana minggu bekerja empat hari boleh meningkatkan kesejahteraan tanpa menjejaskan prestasi.

Menurut penulisnya, Charlotte L. Rae dan Emma Russell, dua mekanisme psikologi utama yang terlibat ialah pemulihan dan motivasi.

Apabila seseorang mendapat rehat mencukupi, mereka berpotensi kembali bekerja dengan lebih bertenaga, bermotivasi dan bersedia menyelesaikan tugasan.

Pada masa sama, pekerja yang mempunyai motivasi lebih baik juga berpotensi menghasilkan mutu kerja lebih memuaskan.

Kajian Libatkan Hampir 3,000 Pekerja Temui Perubahan Positif

Penemuan tersebut turut disokong kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Human Behaviour pada Julai 2025.

Kajian berkenaan melibatkan 2,896 pekerja daripada 141 organisasi di Australia, Kanada, Ireland, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Mereka mengikuti percubaan minggu bekerja empat hari selama enam bulan tanpa pengurangan gaji, selepas organisasi terlibat menyusun semula cara kerja.

Hasilnya, penyelidik mendapati peningkatan dalam kepuasan kerja, kesihatan mental, kesihatan fizikal serta pengurangan keletihan melampau dalam kalangan pekerja.

Tiga faktor utama yang membantu menjelaskan perubahan tersebut ialah keupayaan bekerja yang lebih baik, masalah tidur berkurangan dan tahap keletihan menurun.

Bagaimanapun, kajian itu menilai perubahan waktu bekerja secara berterusan, bukannya kesan cuti umum sehari terhadap produktiviti.

Rupanya Kita Bukan Malas, Cuma Perlukan Masa Untuk Berehat

Walaupun tidak semua pekerjaan boleh menggunakan jadual empat hari, penemuan penyelidikan ini menunjukkan kepentingan memberikan pekerja masa mencukupi untuk pulih.

Ini kerana bekerja lebih lama tidak semestinya bermaksud seseorang mampu menghasilkan lebih banyak tugasan atau memberikan prestasi terbaik.

Sebaliknya, rehat yang mencukupi boleh membantu seseorang menguruskan keletihan, mengekalkan motivasi dan kembali menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik.

Jadi, apabila cuti umum jatuh pada hari Isnin, nikmatilah peluang tersebut tanpa rasa bersalah kerana mengambil masa untuk diri sendiri.

Kadangkala, perkara yang kita perlukan untuk menghadapi minggu bekerja seterusnya bukanlah satu lagi cawan kopi, tetapi sehari tambahan untuk berehat.

Intipati
  • Cuti panjang membantu otak pulih daripada keletihan mental selepas minggu bekerja yang padat.
  • Anticipatory pleasure menjelaskan perasaan gembira apabila seseorang menantikan cuti atau aktiviti menyeronokkan.
  • Kajian minggu bekerja empat hari menunjukkan peningkatan kepuasan kerja, kesihatan dan pengurangan keletihan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan