Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ramai Tak Tahu, Ini Kesan Buruk Penggunaan AI Terhadap Alam Sekitar

Azzwin
ai
Kredit: Flow/AI

Ramai Tak Tahu, Ini Kesan Buruk Penggunaan AI Terhadap Alam Sekitar

Dalam era serba moden hari ini, semuanya boleh dilakukan hanya dengan bantuan AI dalam masa beberapa saat.

Teknologi kecerdasan buatan ini sememangnya memudahkan kehidupan dan semakin digunakan di seluruh dunia.

Di sebalik kemudahan tersebut, ramai sebenarnya tidak sedar bahawa penggunaan AI turut memberi kesan negatif terhadap alam sekitar.

Justeru, kali ini SK ingin kongsikan kesannya terhadap alam sekitar daripada portal Reader's Digest.

Apa yang berlaku di pusat data AI?

Menurut portal Reader's Digest, apabila seseorang menggunakan ChatGPT, Claude atau mana-mana sistem AI lain, setiap pertanyaan yang dihantar akan bergerak melalui internet dalam bentuk paket data sebelum sampai ke pusat data.

Pusat data ini boleh diibaratkan sebagai gudang besar yang dipenuhi ribuan komputer berprestasi tinggi yang disusun dalam barisan panjang.

Di dalam pusat data tersebut, pertanyaan pengguna diproses menggunakan cip khas dikenali sebagai GPU.

Difahamkan, cip ini direka untuk menyelesaikan jutaan operasi matematik dalam masa yang sangat singkat.

Kredit: Flow/AI

Sistem AI akan memecahkan ayat kepada unit kecil yang dipanggil “token”, kemudian meramalkan perkataan seterusnya berdasarkan corak bahasa yang dipelajari daripada sejumlah besar data.

Proses ini berlaku hanya dalam beberapa milisaat. Namun, operasi pengiraan yang terlalu intensif menyebabkan cip menjadi sangat panas.

Jika suhu tidak dikawal, komponen komputer boleh rosak dalam masa singkat.

Oleh itu, pusat data memerlukan sistem penyejukan berterusan yang menggunakan air dalam kuantiti amat besar.

Berikut merupakan kesan AI terhadap alam sekitar:

1. Penggunaan air yang sangat tinggi

Portal Reader's Digest menjelaskan bahawa salah satu kebimbangan utama ialah jumlah air yang digunakan untuk menyejukkan pusat data.

Menurut laporan, pusat data bersaiz sederhana boleh menggunakan kira-kira 500,000 gelen air sehari, manakala pusat data AI berskala besar boleh mencecah berjuta-juta gelen setiap hari.

Selain penyejukan secara langsung, air juga digunakan secara tidak langsung bagi menjana elektrik yang diperlukan untuk mengendalikan pusat data.

Kebanyakan pusat data dibina berhampiran loji jana kuasa yang sememangnya menggunakan air dalam kuantiti tinggi.

Difahamkan, keadaan ini turut memberi kesan kepada ekosistem semula jadi.

Kredit: Flow/AI

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Water Biology and Security pada tahun 2026 mendapati pusat data yang bergantung kepada bahan api fosil boleh meningkatkan suhu sumber air tempatan sehingga menjejaskan hidupan marin.

Dalam sesetengah kes, pembinaan empangan baharu untuk menjana kuasa hidro pula boleh menghalang laluan pembiakan ikan dan mengurangkan biodiversiti.

2. Penggunaan tenaga dan pelepasan karbon

Menurut portal Reader's Digest, pusat data kini menggunakan lebih 4% daripada keseluruhan bekalan elektrik di Amerika Syarikat, iaitu hampir menyamai jumlah penggunaan elektrik tahunan negara Pakistan.

Angka ini dijangka meningkat lebih 130% menjelang tahun 2030.

Masalah utama bukan sekadar penggunaan elektrik yang tinggi, tetapi cara tenaga itu dijana.

Kredit: Flow/AI

Di Amerika Syarikat, sebahagian besar tenaga masih dihasilkan melalui pembakaran arang batu dan gas asli yang membebaskan karbon dioksida ke atmosfera. Pelepasan ini menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim.

Selain itu, pusat data turut menggunakan generator sokongan berasaskan diesel atau gas yang menghasilkan pencemaran udara seperti nitrous oksida dan partikel halus.

Kajian dalam jurnal Nature Sustainability pada tahun 2025 menganggarkan pertumbuhan AI di Amerika Syarikat boleh menambah antara 24 hingga 44 juta tan metrik karbon dioksida menjelang tahun 2030.

3. Pencemaran bunyi

Portal Reader's Digest turut menjelaskan bahawa penduduk yang tinggal berhampiran pusat data berskala besar juga boleh terdedah kepada pencemaran bunyi.

Bunyi dengungan frekuensi rendah daripada sistem penyejukan dan mesin operasi boleh didengari sehingga beberapa kilometer, terutama pada waktu malam atau musim sejuk apabila bunyi persekitaran lebih rendah.

Kredit: Flow/AI

Bunyi ini sering digambarkan seperti bunyi lebuh raya dari jauh atau enjin kapal terbang yang sedang melahu.

Frekuensi rendah juga lebih mudah menembusi dinding dan sukar hilang berbanding bunyi bernada tinggi.