Pernah tak anda dengar orang sebut ‘Jubli Emas’ atau ‘Jubli Perak’ ketika sesuatu sambutan? Biasanya kita baca dan dengar begitu sahaja tanpa fikir apa maksudnya.
Tapi kalau ada orang tanya apa beza antara kedua-duanya, boleh jawab terus atau kena Google dulu?
Rupanya, setiap nama jubli ini membawa maksud tersendiri. Bukan boleh pilih mana yang kedengaran paling ‘mahal’ ya!
Jadi, apa sebenarnya jubli dan bagaimana hendak membezakan setiap satunya? Jom kita fahami.
Apa itu Jubli?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jubli merujuk kepada perayaan untuk memperingati ulang tahun sesuatu peristiwa penting, seperti hari perkahwinan atau hari pertabalan raja.
Senarai Jubli
Jubli Perak - Perayaan memperingati ulang tahun yang kedua puluh lima
Jubli Emas - Perayaan memperingati ulang tahun yang kelima puluh
Jubli Intan - Perayaan memperingati ulang tahun yang keenam puluh
Jubli Platinum - Perayaan memperingati ulang tahun yang ketujuh puluh
Selepas ini, kalau nampak perkataan ‘Jubli Emas’ pada kain rentang sekolah lama, bolehlah terus tahu sekolah itu sedang meraikan usia setengah abad.
Tak perlulah lagi meneka-neka maksud nama di sebalik sambutannya.
Semoga bermanfaat.
