Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Punca Kematian Pelajar Akibat Jerutan Pada Leher, Tiada Unsur Jenayah - Polis

pelajar
Kredit: Bernama

IPOH, 19 Nov (Bernama) -- Kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga yang ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar semalam disahkan berpunca daripada jerutan pada leher.

Iklan

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata punca kematian itu dikenal pasti menerusi hasil bedah siasat yang selesai dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Taiping, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah atau kejadian buli yang dikaitkan dengan kematian pelajar berkenaan.

“Kes kematian pelajar itu diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini.

Mohd Alwi berkata pihaknya telah merakam keterangan 13 individu termasuk ibu bapa, guru dan rakan sekolah mangsa serta akan meneruskan proses keterangan daripada mana-mana pihak yang dikirkan perlu bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa berada di bilik sakit sekolah berkenaan selama tiga hari sejak Isnin lalu selepas dilaporkan kurang sihat.

Mohd Alwi berkata mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira 10.35 pagi semalam, namun kematiannya hanya disedari pada 2.45 petang hari sama oleh seorang pelajar yang secara kebetulan memasuki bilik sakit berkenaan untuk menggunakan tandas,” katanya.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang murid Tingkatan Tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di negeri itu.

Susulan kejadian berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pelajar terbabit.

Sumber:BERNAMA
Intipati
  • Bedah siasat mengesahkan kematian pelajar Tingkatan Tiga berpunca daripada jerutan pada leher.
  • Polis berkata siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah atau buli berkaitan.
  • Mangsa berada di bilik sakit sekolah selama tiga hari selepas dilaporkan kurang sihat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan