Siasatan awal polis mendapati serangan seorang pelajar terhadap guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching pada 21 Oktober lalu dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan yang dialami suspek.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, polis menerima maklumat melalui MERS 999 pada 21 Oktober lalu berhubung seorang pelajar berusia 16 tahun yang disyaki mencederakan seorang guru menggunakan kapak serta membawa mercun di sebuah sekolah swasta di Kuching.
Beliau berkata, mangsa, seorang guru wanita berusia 42 tahun, mengalami kecederaan pada tangan kiri yang memerlukan 16 jahitan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital KPJ Kuching. Bagaimanapun, kecederaan tersebut tidak melibatkan otot atau tulang.
Susulan kejadian itu, suspek ditahan pada hari yang sama dan kini masih menerima rawatan di hospital selain menjalani penilaian psikiatri oleh pakar perubatan.
Dalam pada itu, Saifullizan berkata pihak polis telah menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mendapatkan bukti berkaitan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan yang dialami oleh suspek,” katanya dalam sidang media hari ini.
Kemurungan Dipercayai Punca Pelajar Serang Guru

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan penyiasat telah melengkapkan kertas siasatan dan mengemukakannya kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober lalu untuk penelitian dan arahan lanjut.
“Kes tersebut masih dalam kajian pihak berkenaan,” katanya.
Saifullizan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian tersebut, khususnya melalui platform media sosial.
“Langkah ini penting bagi menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan serta menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat, terutama mangsa dan suspek yang masih di bawah umur.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus serta berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 berkaitan pemilikan senjata atau bahan berbahaya.

