Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PRN Sarawak: Kira-Kira 30 Kerusi GPS Dijangka Menang Tanpa Bertanding - Abang Jo

PRN Sarawak
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon, Dewan Masyarakat Gedong hari ini. Kredit: Bernama

GEDONG, 28 Nov (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kira-kira 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka menang tanpa bertanding selepas tamat proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata kemenangan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan pentadbiran gabungan berkenaan dalam menerajui pembangunan Sarawak.

Beliau berkata perkembangan itu turut menunjukkan rakyat mahu kesinambungan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri demi masa depan Sarawak.

“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana adanya keyakinan rakyat di Sarawak terhadap pentadbiran GPS yang menguruskan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong di sini hari ini.

Abang Johari yang terdahulu diumumkan menang tanpa bertanding di kerusi Gedong berkata kemenangan itu adalah bukti keyakinan rakyat terhadap beliau dan GPS untuk meneruskan usaha pembangunan berdasarkan rancangan yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini.

Mengulas pandangan bahawa kemenangan tanpa bertanding boleh melemahkan proses demokrasi, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata perkara lebih penting ialah memberikan ruang kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang akan mentadbir negeri itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Dari proses demokrasi, satu-satunya ialah memberikan mandat kepada rakyat dan terpulang kepada rakyat untuk memberikan keyakinan kepada parti mana yang akan menguruskan negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak meletakkan calon di Sarawak pada PRN kali ini, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai cerminan persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Beliau berharap persefahaman itu dapat menyumbang kepada perpaduan dan kestabilan negara, sekali gus membolehkan pembangunan dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

“Kestabilan politik yang terhasil juga penting dalam meyakinkan pelabur dari dalam dan luar negara untuk meningkatkan pelaburan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan calon bebas yang mesra GPS, termasuk sama ada mereka akan menerima peruntukan seperti calon parti kerajaan, beliau berkata setiap organisasi perlu mematuhi disiplin dan arahan parti.

“Kalau mereka mesra GPS, tetapi dia bertanding menentang GPS, itu tandanya tidak sepakat dengan GPS,” katanya tanpa menjelaskan sama ada individu berkenaan dikategorikan sebagai pembangkang atau sebaliknya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut berkongsi kejayaan tiga calon GPS di Parlimen Petra Jaya yang menang tanpa bertanding selepas proses penamaan calon ditutup.

Menerusi hantaran di Facebook, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan dan Ahli Parlimen Petra Jaya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kemenangan berkenaan.

Tiga DUN tersebut ialah Tupong yang diwakili oleh Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan DUN Satok Datuk Ibrahim Baki.

Intipati
  • Abang Johari berkata kira-kira 30 kerusi GPS dijangka menang tanpa bertanding.
  • Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan pembangunan GPS.
  • Fadillah Yusof berkongsi tiga calon GPS di Petra Jaya menang tanpa bertanding.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan