Kertas penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya antara jam 9 hingga 10 pagi Sabtu ini, sempena Hari Penamaan Calon (HPC) yang berlangsung di 28 pusat penamaan calon.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata kertas penamaan calon hendaklah diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua daripada mereka atau seorang daripada mereka.
Beliau menyarankan agar bakal calon mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum HPC, selain membuat pembayaran deposit lebih awal.
Kertas Penamaan Calon Perlu Diserahkan Sabtu Ini
“Resit pembayaran deposit tersebut hendaklah dibawa semasa HPC sebagai bukti pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik supaya mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili ketika menyerahkan kertas penamaan calon.
“Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] dan undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ini termasuk larangan penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui kenderaan, selain larangan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan semasa HPC, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta 5,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru bakal calon dan parti politik yang terlibat supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, etika serta arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

