Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PRN Melaka Bakal Menyingkap Cara Pengundi Muda Membentuk Pilihan

Gambar: BERNAMA
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Siakap Keli

Persaingan politik pada masa kini tidak lagi hanya tertumpu kepada kekuatan jentera parti, populariti calon atau keupayaan menguasai kawasan pilihan raya. Satu lagi medan persaingan yang semakin penting ialah bagaimana parti politik dan calon membentuk persepsi serta mendapatkan kepercayaan pengundi, khususnya golongan muda yang kini merangkumi hampir 47 peratus daripada keseluruhan pemilih di Melaka.

Angka ini memberikan isyarat jelas bahawa pengundi muda bukan lagi kelompok yang boleh diketepikan dalam strategi politik. Namun, memahami kecenderungan mereka memerlukan pendekatan yang lebih mendalam daripada sekadar melihat pola sokongan terhadap parti tertentu. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana mereka mendapatkan maklumat, membentuk pandangan dan menentukan pihak yang layak diberikan mandat.

Perubahan ini turut memperlihatkan bahawa landskap politik semakin dipengaruhi oleh persaingan maklumat. Nusantara Academy for Strategic Research (NASR) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengadakan perbincangan kumpulan berfokus (Focus Group Discussion atau FGD) pada 16 Oktober 2026 di UIAM. Perbincangan yang melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UIAM ini memberikan gambaran tentang perubahan cara pengundi muda khususnya mahasiswa mendapatkan dan menilai maklumat politik.

Media sosial sebagai medan pembentukan persepsi

Kini, media sosial seperti TikTok, Facebook dan platform digital lain telah mengubah cara maklumat politik disebarkan dan diterima. Platform ini membolehkan calon serta parti politik berkomunikasi secara langsung dengan pengundi tanpa terlalu bergantung pada saluran media tradisional.

Kandungan yang menarik perhatian, mencetuskan emosi atau perdebatan berpotensi mendapat capaian lebih luas berbanding penjelasan dasar yang panjang dan kompleks. Dalam keadaan ini, populariti sesuatu kandungan boleh mempengaruhi persepsi terhadap calon walaupun kandungan tersebut tidak semestinya memberikan gambaran menyeluruh tentang keupayaan atau prestasi mereka.

Seorang peserta FGD menyentuh kecenderungan sebahagian pengundi menerima maklumat berdasarkan sentimen dan trend tanpa penelitian mendalam.

“Pengundi-pengundi muda tak ada buat kajian secara mendalam. Tengok benda viral, dia nampak sentimen, dia ikut trend.”

Pandangan ini membawa kepada satu persoalan penting, iaitu sejauh manakah pengundi mampu membezakan antara maklumat yang sahih dengan naratif yang sengaja dibentuk untuk mempengaruhi persepsi? Dalam politik digital, keupayaan mengawal naratif boleh menjadi kelebihan kepada parti atau calon, tetapi ia juga membuka ruang kepada manipulasi maklumat dan penyebaran berita palsu.

Pilihan politik masih dipengaruhi persekitaran sosial

Walaupun media sosial semakin dominan, pembentukan pilihan politik tidak berlaku dalam ruang kosong. Keluarga, rakan sebaya dan persekitaran sosial masih memainkan peranan dalam membentuk pandangan seseorang terhadap parti dan calon. Kecenderungan politik yang terbentuk sejak kecil, misalnya, boleh mempengaruhi cara seseorang menerima maklumat dan menilai perkembangan politik semasa.

Fenomena ini menunjukkan bahawa pengundi muda tidak semestinya membuat keputusan berdasarkan maklumat digital semata-mata. Sebaliknya, mereka turut dipengaruhi oleh hubungan sosial dan pengalaman peribadi. Dalam sesetengah keadaan, pandangan keluarga boleh menjadi asas kepada kecenderungan politik, manakala perbincangan bersama rakan sekeliling pula membuka ruang kepada pendedahan terhadap perspektif yang berbeza.

Oleh itu, anggapan bahawa pengundi muda merupakan kelompok yang mudah berubah pendirian hanya kerana terdedah kepada kandungan media sosial perlu dinilai secara lebih berhati-hati. Pengaruh digital mungkin membentuk persepsi, tetapi keputusan politik turut melibatkan nilai, pengalaman dan kepercayaan yang telah terbina dalam kehidupan seseorang.

Populariti digital belum tentu menjamin kepercayaan pengundi

Satu cabaran besar dalam politik semasa ialah kecenderungan mengukur kekuatan calon berdasarkan populariti di media sosial. Jumlah pengikut, tontonan video, tanda suka dan perkongsian sering dianggap sebagai petunjuk sokongan. Namun, ukuran tersebut tidak semestinya menggambarkan tahap kepercayaan atau kesediaan seseorang pengundi untuk memilih calon tersebut.

Hakikatnya, kredibiliti seseorang calon masih perlu dinilai berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah masyarakat, rekod perkhidmatan dan komitmen terhadap kawasan yang diwakili. Komunikasi digital boleh memperkenalkan calon kepada pengundi, tetapi pengalaman sebenar masyarakat menentukan sama ada mesej yang disampaikan selari dengan realiti di lapangan.

Perkara ini turut tercermin dalam pandangan seorang peserta FGD yang menjelaskan kepentingan mendapatkan pengesahan daripada penduduk setempat sebelum menilai prestasi wakil rakyat.

“Saya akan tanya orang di kawasan itu. Betul ke tak orang ni buat kerja.”

Pandangan tersebut mengingatkan bahawa hubungan antara wakil rakyat dengan masyarakat tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh komunikasi dalam talian. Aktiviti turun padang, penyelesaian masalah setempat dan keprihatinan terhadap keperluan penduduk merupakan sebahagian daripada asas pembinaan kepercayaan politik. Dalam konteks ini, prestasi sebenar perlu menjadi ukuran yang lebih bermakna berbanding populariti sementara.

Tambahan lagi, algoritma media sosial yang berdasarkan sejarah carian, tontonan dan interaksi mengehadkan peluang pengundi untuk memahami persepsi yang berbeza. Pengundi mungkin menganggap maklumat yang kerap muncul di paparan mereka sebagai gambaran sebenar.

AI membuka peluang, tetapi literasi politik tetap menjadi keperluan

Perkembangan kecerdasan buatan (AI) turut membawa perubahan kepada cara generasi muda mendapatkan dan memahami maklumat. Penggunaan aplikasi AI seperti NotebookLM untuk meringkaskan bahan bacaan atau menghasilkan kandungan audio menunjukkan bahawa teknologi kini bukan sekadar saluran penyebaran maklumat, malah menjadi alat untuk memproses dan memahami isu yang kompleks.

Dalam konteks politik, perkembangan ini berpotensi membantu pengundi memahami manifesto, dasar kerajaan, latar belakang calon dan isu semasa dengan lebih mudah. Namun, kemudahan mendapatkan maklumat tidak semestinya menjamin ketepatannya. Kandungan yang dijana atau diringkaskan oleh AI masih bergantung pada sumber yang digunakan dan perlu disemak dengan bahan asal.

Justeru, literasi politik perlu berkembang seiring dengan literasi digital. Pengundi bukan sahaja perlu tahu menggunakan teknologi untuk mendapatkan maklumat, tetapi juga mempunyai keupayaan menilai sumber dan mengenal pasti kecenderungan sesuatu naratif. Tanpa keupayaan tersebut, teknologi yang sepatutnya memperluas pengetahuan boleh menjadi saluran penyebaran maklumat yang mengelirukan.

PRN Melaka bukan sekadar persaingan warna politik

Perubahan landskap maklumat ini menuntut parti politik dan calon menilai semula pendekatan komunikasi mereka. Strategi yang hanya bergantung pada kandungan tular atau kempen digital mungkin berjaya menarik perhatian, tetapi belum tentu mampu membina keyakinan jangka panjang. Pengundi muda memerlukan maklumat yang jelas, relevan dan boleh dipercayai, di samping bukti bahawa janji politik mampu diterjemahkan kepada tindakan.

Pada masa yang sama, parti politik perlu memahami bahawa pengundi muda bukan satu kelompok yang seragam. Mereka mempunyai keutamaan dan pengalaman yang berbeza, termasuk berkaitan peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, perumahan dan masa depan ekonomi. Oleh itu, komunikasi politik perlu bergerak melangkaui slogan dan persaingan persepsi dengan memberikan perhatian kepada isu yang benar-benar mempengaruhi kehidupan rakyat.

Menjelang PRN Melaka pada 14 November 2026, gelombang merah mahupun gelombang biru mungkin mewarnai persaingan untuk mendapatkan mandat rakyat. Namun, warna politik yang meraih kemenangan bukanlah ukuran utama kejayaan sesebuah kerajaan negeri. Yang lebih penting ialah sejauh mana mandat tersebut diterjemahkan kepada kebajikan rakyat, peluang ekonomi yang lebih baik, kesejahteraan hidup dan kemakmuran negeri Melaka.

Akhirnya, kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar tentang siapa yang berjaya menguasai naratif atau menarik perhatian pengundi, tetapi siapa yang mampu membuktikan keupayaan memikul amanah dan membawa perubahan bermakna kepada rakyat.

Intipati
  • Pengundi muda merangkumi hampir 47 peratus pemilih Melaka menjelang PRN pada 14 November 2026.
  • FGD NASR dan UIAM meneliti cara mahasiswa mendapatkan serta menilai maklumat politik.
  • Media sosial mempengaruhi persepsi, namun keluarga, rakan dan rekod calon masih penting.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan