Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PRN Melaka: 26 Calon Hilang Deposit, Bersama Paling Ramai

deposit
Gambar hiasan. Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Sebanyak 26 calon hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Parti Bersama Malaysia (Bersama) mencatatkan jumlah calon paling ramai kehilangan wang deposit apabila 15 daripada 16 calon yang bertanding atas tiket parti itu gagal memperoleh undi minimum ditetapkan.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga gagal memberikan impak pada PRN kali ini apabila lima calon kehilangan wang deposit daripada tujuh kawasan yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) menyaksikan dua daripada 24 calonnya berdepan nasib sama.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang meletakkan calon tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek serta tiga calon Bebas tewas dan hilang wang deposit di kawasan ditandingi.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Rais Yasin di DUN Sungai Udang menang dengan majoriti tertinggi, iaitu 16,214 undi selepas menewaskan calon Bersatu dan Bersama yang masing-masing mendapat 2,103 serta 1,322 undi.

Kerusi DUN Sungai Udang pula adalah antara kerusi tumpuan PRN Melaka kali ini, yang menyaksikan sebanyak 22,195 daripada 29,692 pengundi berdaftar keluar mengundi hari ini.

Calon BN Datuk Ngwe Hee Sem, yang memperoleh 6,686 undi, mencatatkan majoriti terendah selepas menang dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Machap Jaya membabitkan calon PH Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Prasanth Kumar Brakasam daripada Bersama.

Kerusi DUN Machap Jaya disandang Ngwe yang menang dengan majoriti 938 pada PRN Melaka 2021.

-- BERNAMA

Intipati
  • Sebanyak 26 calon PRN Melaka hilang deposit selepas gagal mencapai satu perlapan undi.
  • Parti Bersama Malaysia mencatat jumlah tertinggi, dengan 15 daripada 16 calonnya hilang deposit.
  • Datuk Rais Yasin menang di DUN Sungai Udang dengan majoriti tertinggi 16,214 undi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan