Utusan Khas Presiden Bidang Iklim dan Tenaga, Hashim Djojohadikusumo menyatakan pembangunan biodiesel B50 hingga B100 boleh memanfaatkan kawasan hutan yang sudah rosak atau terdegradasi, lapor CNN Indonesia.
Menurut Hashim, terdapat kira-kira 12.7 juta hektar hutan terdegradasi di Indonesia yang boleh digunakan sebagai salah satu sumber bahan mentah biodiesel.
Hutan Rosak
“B50-B100 itu nanti, syukur-syukur datangnya daripada hutan yang rosak, bukan hutan primer. Menurut pemerintah, ketika ini terdapat 12.7 juta hektar hutan rosak atau hutan terdegradasi,” katanya pada Investor Daily Summit 2026 di Jakarta.
Hashim menjelaskan, hutan terdegradasi merujuk kawasan yang telah mengalami kerosakan, termasuk akibat pembalakan, sehingga tidak lagi mempunyai litupan hutan seperti keadaan asal.
“Itu hutan, tetapi sudah tiada kayu. Sudah ditebang, tinggal semak samun dan sebagainya. Kawasan hutan rosak itulah yang sebenarnya menjadi sumber karbon,” katanya.
Menurut Hashim, penggunaan kawasan berkenaan bertujuan menyokong sasaran mencapai sara diri dalam tenaga melalui pembangunan biofuel.
“Untuk B50-B100, kita menuju ke arah sara diri tenaga melalui biofuel. Kita menggunakan tanah daripada hutan terdegradasi, hutan yang rosak, bukan hutan primer,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu turut menerima maklum balas positif dari luar negara. Namun, pembangunan tenaga berkenaan perlu mengambil kira aspek alam sekitar, termasuk perlindungan hutan dan kawasan perairan.
“Saya sangat optimis Indonesia akan bersinar. Ekonomi kita akan berkembang dengan strategi yang seimbang. Kita turut memberikan perhatian dan mengutamakan alam sekitar, termasuk hutan dan kawasan perairan kita,” katanya.
Dalam kesempatan sama, Hashim turut menyentuh keadaan taman negara di Indonesia. Beliau berkata negara itu mempunyai 57 taman negara dengan keluasan keseluruhan kira-kira 23 juta hektar.
Hashim berkata sebahagian kawasan berkenaan berdepan masalah kerosakan, termasuk akibat kegiatan perladangan kelapa sawit dan perlombongan haram.
“Namun, berjuta-juta hektar kawasan sudah ditebang oleh pihak yang melakukan kegiatan haram. Sebanyak lima juta hektar ladang kelapa sawit haram sudah diambil alih negara,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah mengambil alih beberapa kawasan berkenaan dan menyediakan petugas untuk mendapatkan dana dari luar negara bagi menjaga serta memulihkan taman negara yang rosak.
