Belanjawan Sarawak 2027 diunjurkan mencatat lebihan sebanyak RM246 juta dengan hasil negeri dianggarkan berjumlah RM15.091 bilion berbanding perbelanjaan biasa sebanyak RM14.845 bilion.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, lebihan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri mengurus kewangan secara berhemat bagi memenuhi keperluan semasa, selain membuat persediaan menghadapi cabaran masa depan.
“Lebihan ini menunjukkan Sarawak menguruskan kewangannya dengan bijak, memenuhi keperluan hari ini sambil membuat persediaan untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 bagi Bacaan Kali Kedua pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Menurut beliau, belanjawan bertemakan Bersama Membina Kemakmuran dan Menjamin Masa Depan Kita itu turut menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM10.098 bilion, meningkat RM826 juta atau sembilan peratus berbanding anggaran asal perbelanjaan pembangunan tahun ini.
Katanya, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan rakyat serta membangunkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang lebih makmur dan maju.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru berkata, Belanjawan 2027 turut memperuntukkan RM300 juta kepada Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak (SSWFF) bagi memastikan sebahagian hasil negeri disimpan untuk manfaat generasi akan datang.
Bagi 2027, hasil negeri diunjurkan sebanyak RM15.091 bilion, dengan hasil cukai menyumbang RM6.4 bilion atau 43 peratus, manakala hasil bukan cukai dianggarkan RM6.7 bilion atau 45 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Cukai Jualan Negeri menjadi penyumbang utama hasil cukai dengan anggaran RM4.6 bilion, termasuk RM3.4 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain.
Sementara itu, hasil bukan cukai dijangka disumbangkan terutamanya oleh pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas sebanyak RM2.57 bilion serta pendapatan dividen berjumlah RM2.6 bilion.
Geran dan pembayaran balik daripada Kerajaan Persekutuan pula diunjurkan sebanyak RM1.87 bilion, termasuk bayaran interim geran khas berjumlah RM1.5 bilion bagi 2027.
Dari segi perbelanjaan, Belanjawan Sarawak 2027 mencadangkan perbelanjaan biasa sebanyak RM14.845 bilion, merangkumi RM5.747 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM9.098 bilion untuk Akaun Kumpulan Wang Pembangunan.
Peruntukan pembangunan sebanyak RM10.098 bilion itu akan digunakan bagi membiayai projek pembangunan negeri, termasuk usaha meningkatkan kemudahan, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
“Lebih daripada sekadar angka, peruntukan besar ini menunjukkan tekad teguh Kerajaan GPS untuk menjadikan Sarawak tempat yang lebih baik untuk didiami, sebuah negeri yang makmur dan maju, dengan setiap rakyat Sarawak dapat mengharapkan masa depan yang lebih cerah,” katanya.

