Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan negara, melancarkan keluaran setem khas, Sulaman Manik di Malaysia, di Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 6 November 2026.
Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan pengenalan setem serta sesi menandatangani secara simbolik bagi memperingati pelancaran tersebut. Sesi tandatangan tersebut disertai oleh Khairul Hafizi bin Naharuddin, Pengarah Kanan, Bahagian Rekaan dan Penyelidikan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia); Haji Khairul Anuar bin Abdul Azid, Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Muhamed Salim Mohd Ali, Presiden Persatuan Filateli Malaysia (PSM) dan Fiona Liao, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Pos Malaysia.

Pelancaran tersebut disusuli dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Kelab Setem & Filateli (KESEF). Kedua-dua acara ini diadakan bersempena dengan Minggu Setem dan Siri Jelajah Kelab Setem & Filateli 2026. Majlis penyampaian hadiah KESEF ini meraikan para pemenang pertandingan yang telah dijalankan sepanjang tahun, termasuk Pertandingan Folio Setem, Pertandingan Pamer Sehalaman (One Page Exhibit), Pertandingan Reka Bentuk Poskad Seni Capan, serta Pertandingan Reka Bentuk Setem Seni Coret ('Doodle').
Melibatkan murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan prauniversiti, serta guru dan murid pendidikan khas, pertandingan-pertandingan ini mengiktiraf pencapaian peserta di samping menggalakkan penglibatan yang lebih aktif dalam dunia filateli.

Seni manik telah lama menjadi sebahagian daripada warisan kraf Malaysia; ia menghiasi pakaian tradisional, barang kemas, beg, hiasan kepala, serta pelbagai aksesori hiasan, malah terus berkembang dalam bentuk baharu menerusi fesyen kontemporari dan produk gaya hidup.
Memerlukan kesabaran, ketelitian, dan kemahiran yang diwarisi turun-temurun, kraf ini mencerminkan nilai seni serta tradisi budaya pelbagai komuniti di seluruh negara. Terbitan setem Sulaman Manik di Malaysia meraikan warisan yang kekal terpelihara serta keunikan seni sulaman manik di seluruh Malaysia, di samping mengajak orang ramai untuk mengenali tradisi budaya antara satu sama lain dan mewariskannya kepada generasi akan datang.

Di Sarawak, seni manik merupakan satu tradisi penting dalam kalangan masyarakat pribumi, termasuk Orang Ulu, seperti suku kaum Kayan, Kenyah, dan Kelabit, serta kaum Iban dan Bidayuh. Bagi masyarakat Iban, marik empang, hiasan manik rumit yang dipakai melingkari leher dan menutupi dada, kekal menjadi ciri khas dalam busana tradisional wanita untuk pelbagai upacara, tarian, dan perayaan.
Di Sabah pula, masyarakat Rungus di Kudat terkenal dengan pinakol, iaitu sepasang jalur manik lebar yang dipakai secara bersilang merentasi dada dan belakang badan. Ia menyerlah dengan corak geometri berwarna-warni yang mencerminkan budaya serta simbolisme masyarakat Rungus.
Koleksi ini turut mengetengahkan seni sulaman manik Melayu, yang digunakan untuk memberikan warna, tekstur, dan kilauan pada busana tradisional seperti baju kurung dan kebaya, serta kasut manik masyarakat Peranakan Baba dan Nyonya. Kasut manik yang dihasilkan dengan perincian yang teliti ini menampilkan manik kaca halus yang disulam membentuk corak bunga, burung, dan motif geometri, sekali gus mencerminkan kemahiran pertukangan serta warisan budaya yang berkait rapat dengan masyarakat Peranakan.
Koleksi Sulaman Manik di Malaysia merangkumi:
Empat reka bentuk setem (dengan nilai 50 sen dan 60 sen)
Helaian Mini (RM5.00)
Sampul Hari Pertama berserta setem (RM2.70)
Sampul Hari Pertama berserta Helaian Mini (RM5.50)
Folder Kenang-kenangan (RM7.00)
Set folder lengkap ini berharga RM42.20 dan boleh didapati mulai 6 November 2026 di 90 Biro Filateli di seluruh negara, termasuk 13 Pejabat Pos Besar, serta pejabat-pejabat pos terpilih dan kedai dalam talian Pos Malaysia, sementara stok masih ada.
Minggu Setem 2026 akan diteruskan pada 7 dan 8 November di Amcorp Mall, Petaling Jaya dan orang ramai dijemput untuk menikmati jualan setem serta menyertai aktiviti kraf sulaman manik yang dikendalikan oleh Kraftangan Malaysia.


