Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Polis Tidak Tolak Kemungkinan Ada Tangkapan Baharu Kes Dadah Dipercayai Babit Aset Tentera

Babit Aset Tentera
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail. Kredit: Bernama

KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan melakukan tangkapan baharu terhadap individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset tentera.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata setakat ini, sebanyak 13 tangkapan dilakukan melibatkan tujuh pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), manakala enam lagi ialah orang awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan … saya tak dapat mendedahkan (bilangan individu dikesan), reman (suspek ditahan) telah tamat serta disambung oleh pihak mahkamah dan kita akan jalankan siasatan bagi memastikan mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan

“Hasil daripada siasatan yang berterusan, insya-Allah kita akan lakukan lain-lain tangkapan yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan kes yang sedang kita siasat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Mohd Khalid berkata kerjasama erat antara PDRM dengan pihak tentera, khususnya TUDM telah membuahkan hasil menerusi operasi bersama yang dijalankan.

Beliau berkata kerjasama itu penting dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah serta memastikan isu berkenaan dapat dibendung daripada terus menular dalam negara.

Minggu lepas, polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penahanan 13 individu itu susulan penemuan dadah yang disembunyikan di dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata kesepaduan dan semangat solidariti dalam kalangan warga pasukan polis perlu sentiasa diperkukuh bagi memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata sebanyak 6,300 pegawai dan anggota berkhidmat di Pahang, sekali gus menuntut kerjasama erat serta semangat berpasukan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan tugas.

Pada majlis itu, Mohd Khalid menyaksikan serah terima tugas antara Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob yang memangku jawatan Ketua Polis Pahang kepada Datuk Mohammad Shaharul Md Osman, Ketua Polis Negeri yang baharu.