Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Disyaki Seludup Dadah Guna Aset Tentera: Tiga Pegawai TUDM Antara Didakwa Esok

Tiga Pegawai TUDM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan. Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) --Enam individu termasuk tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama dengan tiga orang awam akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam esok berhubung kes penyeludupan dadah menggunakan aset ketenteraan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata tujuh lagi suspek yang ditahan dalam kes sama akan diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Kesemua 13 suspek terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam yang ditahan menerusi operasi bersepadu JSJN bersama dengan Cawangan Provost Marshal TUDM pada 17 hingga 19 Nov lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata dadah merupakan musuh nombor satu negara dan JSJN komited memeranginya demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

Beliau menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan menerusi talian Hotline JSJN di 012-208 7222.

Sebelum ini, media melaporkan kegiatan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan itu terbongkar selepas 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia ditemukan ketika hendak dimuatkan ke dalam sebuah pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang.

Susulan penemuan itu, beberapa siri serbuan dijalankan di Lembah Klang, Labuan serta sebuah pangkalan di Tawau, Sabah yang membawa kepada penahanan kesemua suspek.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lepas dengan mengeksploitasi kemudahan pengangkutan udara tentera bagi menyeludup dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa termasuk Filipina dan Indonesia.