Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Polis Buka Kertas Siasatan Isu Podcast Dakwa Sarang Dadah Dekat IPD Sentul

Podcast
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan sebuah video siniar (podcast) yang mendakwa wujud kegiatan pengedaran dadah di sebuah rumah ibadat berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata siasatan itu dimulakan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Pengerusi Kuil Marathadi Madurai Veeran Kuala Lumpur pada Ahad lepas bagi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan dalam video berkenaan.

“Selepas mendapat arahan untuk menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya, pihak polis telah memanggil beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan.

“Ia termasuk (tetamu jemputan podcast) yang akan hadir ke IPD Sentul pada 12 tengah hari esok untuk proses rakaman percakapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus sebelum ini dilaporkan berkata dakwaan yang dibangkitkan menerusi video di satu akaun TikTok itu sebenarnya merujuk kepada kejadian 10 tahun lepas.

Beliau berkata semakan mendapati insiden terbabit berlaku pada 12 Julai 2016 dan kandungan podcast berkenaan hanyalah penceritaan semula pengalaman tetamu yang membuat pemantauan sebagai wartawan pada ketika itu.

Fadil turut menegaskan publisiti seumpama itu tidak wajar dilakukan kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap tahap integriti polis serta menasihatkan semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat.


Sumber:BERNAMA