Kertas siasatan berhubung video tular membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kertas siasatan itu akan dikemukakan untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja melakukan perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
“Siasatan berhubung insiden tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada dua anggota polis berhubung dakwaan mereka dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah AKPS.
Menurutnya, seramai 25 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, selain polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan perubatan.
Saksi yang dirakam percakapan terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM, pegawai AKPS, anggota polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas.
Dalam pada itu, Mohd Khalid memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus, profesional dan tanpa memihak berdasarkan keterangan saksi serta bukti yang diperoleh.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan perundangan yang sedang berjalan,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), selain bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu berkenaan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses siasatan termasuk mengambil keterangan dan mengumpul bukti sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Katanya, keputusan berkaitan kes berkenaan hanya akan dimaklumkan kepada orang ramai selepas proses sewajarnya selesai.
Beliau turut menegaskan AKPS mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan pintu masuk negara tidak tercemar dengan isu integriti.

