Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Gesa Doktor, Guru Jangan Terlalu Memilih Lokasi Penempatan

Doktor, Guru Jangan Terlalu Memilih
KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada program khas Dialog Negara terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertemakan "Di Sebalik Keputusan" di Angkasapuri. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA Photographed By: MUSTAQIM KHAIRUDDIN

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa doktor, guru dan penjawat awam lain supaya tidak terlalu memilih lokasi penempatan sehingga enggan berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata meskipun kerajaan bersedia mempertimbangkan penyesuaian penempatan sekiranya munasabah, keperluan rakyat di kawasan terpencil untuk mendapatkan perkhidmatan seperti dalam aspek kesihatan tetap perlu diutamakan.

“Ada juga masalah penempatan...tetapi kalau penempatan di mana boleh kita ubah suai, kita sesuaikanlah.

“Tetapi bagaimana kalau kita fikir pilihan? Siapa yang nak memilih jadi doktor di Kapit, (Sarawak) di Gua Musang, di Ulu Kelantan?,” katanya pada program 'Dialog Negara' yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.

Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

PM Gesa Doktor, Guru Jangan Terlalu Memilih Lokasi Penempatan

Mengulas lanjut, Anwar berkata isu penempatan itu bukan sahaja melibatkan doktor, malah turut dihadapi penjawat awam lain termasuk jurutera dan guru.

Beliau berkata penempatan penjawat awam di kawasan berkenaan penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di pedalaman Sabah, Sarawak serta Semenanjung tidak terjejas.

Barisan panel terlibat dalam program Dialog Negara ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial Dr Malar Santhi Santherasegapan serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital Adam Shamil.

Turut terlibat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad Azmi Zainal; Pendakwah Bebas Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.

Intipati
  • Anwar menggesa doktor, guru dan penjawat awam tidak terlalu memilih lokasi penempatan.
  • Beliau berkata kerajaan boleh mempertimbangkan penyesuaian penempatan sekiranya alasan dikemukakan munasabah.
  • Penempatan di pedalaman penting supaya perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan