Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Negara Luar Saran Rakyat Simpan Bekalan Makanan, PM Anwar Kata "Jangan Pandang Ringan"

Simpan Bekalan Makanan
Kredit: Youtube Parlimen Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang ringan perkembangan ancaman keselamatan global yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara.

Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum tindakan beberapa negara termasuk Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun yang mengeluarkan nasihat supaya rakyat masing-masing menyediakan bekalan makanan untuk tempoh antara tiga hingga 10 hari susulan ketidaktentuan situasi antarabangsa.

Menurutnya, perkembangan itu turut dipengaruhi ancaman serangan siber yang menjejaskan infrastruktur digital dan sistem pentadbiran di beberapa negara.

“Di Belgium, serangan siber memaksa Kementerian Kewangan menutup sepenuhnya portal cukai nasional.

“Di Denmark, penggodam menceroboh daftar penduduk pusat dan menjejaskan rekod ID nasional hampir sembilan juta orang.

“Di Amerika Syarikat, sistem pemfailan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan terhenti selama 41 jam tepat sebelum pengundian Dewan Senat.

“Di Jepun, pencerobohan siber menembusi rangkaian kerajaan dan mendedahkan rekod peribadi lebih daripada 100,000 anggota polis, menyebabkan pelaksanaan tugas polis di beberapa daerah terjejas,” katanya ketika menyampaikan kenyataan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar berkata, kejadian tersebut hanya sebahagian daripada perkembangan keselamatan antarabangsa yang sedang dipantau kerajaan, termasuk ketegangan konflik di Asia Barat, ancaman di Laut Merah dan situasi keselamatan di Eropah.

Menurutnya, krisis yang berlaku di luar negara juga boleh memberikan kesan terhadap keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diadakan pada Isnin bagi meneliti implikasi perkembangan berkenaan.

Anwar berkata, mesyuarat tersebut antara lain membincangkan mekanisme keselamatan sedia ada, penyelarasan lebih rapi antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan serta langkah memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Antara langkah yang diberikan penekanan ialah memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur penting negara termasuk sektor tenaga, kewangan dan bekalan makanan.

Kerajaan juga akan meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat serta memperkukuh keupayaan agensi dan teknologi bagi menangani pelbagai bentuk ancaman, khususnya serangan siber.

Anwar turut memaklumkan bahawa Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan mesyuarat bersama jabatan berkaitan pada Selasa, manakala Gabenor Bank Negara Malaysia akan mengadakan sesi khas bersama institusi kewangan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan susulan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Anwar berkata Malaysia juga berpotensi menjadi sasaran ancaman keselamatan berikutan kekuatan negara dalam sektor digital dan pusat data.

Selain itu, pendirian tegas Malaysia dalam beberapa isu antarabangsa, khususnya Palestin, turut menjadi antara faktor yang perlu diberikan perhatian.

“Walaupun tidak semua maklumat boleh didedahkan tetapi Malaysia tentunya di antara yang dianggap menjadi sasaran kerana kekuatan kita dalam soal digital dan pusat data.

“Kedua kerana pendirian kita yang agak tegas dalam beberapa isu yang dianggap kontroversial di sesetengah negara termasuk di AS dan Eropah terutama soal Palestin,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar mencadangkan supaya satu taklimat khas secara tertutup oleh Ketua Pengarah MKN diadakan kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh satu atau dua hari bagi menjelaskan perkembangan terkini ancaman keselamatan.

“Saya percaya perkara ini agak penting kerana daripada maklumat yang diperolehi petang semalam dan juga pagi tadi dari Menteri Dalam Negeri. Hal ini jangan kita pandang ringan.

“Jadi saya minta kerjasama semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN dalam tempoh satu atau dua hari untuk mendengar sendiri perkembangan mutakhir,” katanya.

Sumber:- YouTube
Intipati
  • Anwar berkata kerajaan memantau ancaman global yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi Malaysia.
  • MKN mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti implikasi ketegangan antarabangsa dan serangan siber.
  • Kerajaan akan memperkukuh perlindungan infrastruktur penting, termasuk tenaga, kewangan dan bekalan makanan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan