Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Sarawak dijangka bermula dalam siri 3/2028, dijadualkan berlangsung dari Julai hingga Ogos 2028.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nording berkata latihan akan diadakan di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 511, Rejimen 511 Askar Wataniah, Kem Semantan Sarawak dengan kapasiti maksimum seramai 300 orang pelatih.
Kata beliau, buat masa sekarang, persiapan sedang giat dilaksanakan, termasuk dalam mendapatkan kelulusan penggunaan tanah.
“60 peratus kuota diperuntukan kepada peserta dari Sarawak, 30 peratus dari Sabah dan 10 peratus dari Kuala Lumpur bagi meningkatkan penyertaan daripada Malaysia Timur serta memperkukuh perpaduan nasional,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
PLKN 3.0 Dijangka Bermula Pada 2028

Beliau turut menjelaskan pengambilan pelatih bagi PLKN 3.0 ini dilaksana melalui dua kaedah, iaitu pengundian secara rawak (balloting) dan permohonan secara sukarela.
Kaedah ini bertujuan memastikan penyertaan pelatih dilaksanakan secara seimbang melalui pemilihan bersyarat serta kesediaan untuk menyertai program secara sukarela.
“Kriteria pemilihan adalah berumur antara 18 hingga 25 tahun mengikut tahun kelahiran, warganegara Malaysia, sihat tubuh badan dan tidak pernah menyertai mana-mana siri PLKN sebelum ini,” ujarnya.
Tambahnya, mekanisma pengambilan secara rawak dan sukarela semata-mata bagaimanapun tidak dapat menjamin keretangkuman golongan belia dari kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Sehubungan itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), melalui Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), telah memutuskan bahawa wakil MLKN dari Sarawak turut mengenalpasti dan mencadangkan nama calon dari kawasan luar bandar dan pedalaman untuk dipertimbangkan dalam pengambilan pelatih.
“Pendekatan ini akan dilaksanakan setelah wakil MLKN dari Sarawak dilantik,” katanya.

