Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan ramalan signifikan yang menyaksikan luruan angin timuran dijangka berlaku di timur Semenanjung bermula 24 hingga 26 November.
Menurutnya, ramalan itu berdasarkan analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini.
Keadaan itu berpotensi membawa hujan sederhana hingga lebat di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh tersebut.
“Pada masa yang sama, penumpuan angin yang merentasi rantau negara dijangka berlaku pada 25 sehingga 27 November 2026 yang melibatkan kebanyakan negeri di Semenanjung serta Sabah.
“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan dan ribut petir berserta angin kencang dalam tempoh yang lebih lama,” katanya.
Susulan itu, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.


