Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

GEORGE TOWN, 14 Ogos (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal kukuh dengan barisan kepimpinan teras parti tetap bersatu dan bekerjasama dengan baik, kata Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata tiada sebarang pergolakan dalaman parti dilihat meskipun beberapa Ahli Parlimen telah meninggalkan PKR, setakat ini.
“Pimpinan amat kukuh dan barisan kepimpinan teras masih kekal bersama parti serta bekerjasama dengan baik.
“Memang ada beberapa Ahli Parlimen yang keluar, termasuk Ahli Parlimen Subang baru-baru ini, tetapi perkara itu sudah dijangka dan parti telah pun bergerak ke hadapan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud konflik dalaman parti itu susulan kenyataan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwa mengenai keperluan mengelakkan kewujudan “dua nakhoda” dalam parti.
Sim yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata PKR hanya mempunyai satu nakhoda iaitu Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Perdana Menteri.
Beliau berkata Kongres Nasional PKR 2026 yang akan berlangsung hujung minggu ini menjadi platform untuk parti menilai prestasi serta mendengar pandangan perwakilan.
Parti juga perlu mengambil kira beberapa kelemahan susulan prestasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Negeri Sembilan, katanya.
“Sudah tentu perwakilan akan membangkitkan pelbagai isu dan ini (Kongres Nasiona) adalah platform untuk pimpinan mendengar keluhan serta memahami kelemahan yang ada.
“Kita masih mempunyai masa untuk bekerja keras dan memperbaiki segala kelemahan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan