Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pertama Kali Ke Türkiye? 8 Tip Ini Wajib Tahu Sebelum Berangkat

Türkiye
Kota Turkiye. Kredit: Alarabiya

Pertama kali menjejakkan kaki ke Türkiye?

Jangan terus serbu Grand Bazaar atau sibuk mencari lokasi hot air balloon di Cappadocia.

Ada beberapa perkara kecil yang wajar diketahui lebih awal supaya percutian anda bukan sahaja lebih lancar, malah lebih menghormati budaya dan cara hidup masyarakat tempatan.

Daripada cara menukar wang, membeli-belah di bazar, menaiki teksi hinggalah etika berpakaian ketika mengunjungi masjid, tip mudah ini boleh membantu anda menikmati Türkiye dengan lebih yakin.

Hagia Sophia. Kredit: Advantour

1. Tukar wang selepas tiba di Türkiye

Walaupun kad debit dan kredit diterima secara meluas di bandar besar serta kawasan pelancongan, wang tunai masih berguna terutama ketika berkunjung ke bazar atau premis perniagaan kecil.

Pengeluaran wang melalui mesin ATM merupakan antara cara mudah mendapatkan mata wang tempatan, iaitu lira Turki. Namun, semak terlebih dahulu caj pengeluaran dan elakkan menukar wang pada kadar yang kurang menguntungkan.

Bagi urusan kecil seperti membeli makanan, cenderamata atau berbelanja di bazar, sediakan wang pecahan kecil supaya lebih mudah membuat bayaran.

Air Balloon Festival. Kredit: Odynovo

2. Jangan lepaskan peluang menikmati makanan tempatan

Percutian ke Türkiye tidak lengkap tanpa mencuba kepelbagaian makanan tradisionalnya.

Selain hidangan utama, jangan lupa mencuba manisan popular seperti Turkish delight atau lokum dan baklava. Setiap wilayah turut mempunyai pilihan makanan serta manisan tersendiri yang menawarkan pengalaman rasa berbeza.

Jika berpeluang, sertai kelas memasak tempatan untuk mengenali lebih dekat teknik penyediaan makanan seperti meze dan kopi Turki.

Ketika makan di restoran, pastikan menu berserta harga disediakan bagi mengelakkan kekeliruan ketika membuat bayaran.

3. Jangan takut tawar harga di bazar

Bagi yang pertama kali mengunjungi Türkiye, aktiviti tawar-menawar di bazar mungkin kelihatan sedikit kekok.

Namun, ia merupakan sebahagian daripada pengalaman membeli-belah di lokasi seperti Grand Bazaar, Istanbul.

Tawar-menawar biasanya dilakukan untuk barangan yang tidak mempunyai tanda harga. Mulakan dengan harga lebih rendah daripada jumlah yang sanggup dibayar dan berunding secara sopan sehingga mencapai harga yang dipersetujui.

Paling penting, jangan terlalu serius. Senyuman dan sikap menghormati penjual boleh menjadikan proses tawar-menawar lebih menyeronokkan.

4. Berhati-hati ketika menaiki teksi

Seperti destinasi pelancongan lain, pelancong perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan teksi.

Pilih teksi rasmi dan pastikan meter tambang digunakan. Jika perlu, dapatkan cadangan perkhidmatan teksi daripada pihak hotel atau gunakan aplikasi tempahan teksi yang dipercayai.

Elakkan bersetuju dengan tambang yang tidak jelas sebelum perjalanan bermula bagi mengurangkan risiko dikenakan bayaran berlebihan.

5. Hormati etika berpakaian ketika mengunjungi masjid

Masjid seperti Hagia Sophia dan Masjid Sultan Ahmed antara tarikan yang wajib dikunjungi, namun jangan lupa bahawa sebahagian lokasi berkenaan masih digunakan untuk tujuan ibadah.

Pengunjung perlu berpakaian sopan dan menutup bahagian bahu serta lutut. Wanita juga biasanya perlu memakai tudung ketika memasuki ruang solat.

Jika tidak pasti mengenai kod pakaian, pilihan paling selamat adalah memakai pakaian yang longgar dan menutup tubuh dengan sempurna.

6. Simpan wang kecil untuk tandas awam

Perkara ini mungkin nampak remeh, tetapi boleh menjadi penyelamat ketika sedang berjalan-jalan seharian.

Sesetengah tandas awam di Türkiye mengenakan bayaran kecil. Jadi, pastikan anda membawa wang pecahan kecil dalam lira bagi memudahkan urusan.

Pelancong juga dinasihatkan mengambil perhatian terhadap arahan penggunaan tandas di lokasi tertentu kerana sistem paip mungkin berbeza daripada yang biasa digunakan di Malaysia.

7. Pilih air minuman yang selamat

Air minuman berbotol mudah didapati di Türkiye dan boleh menjadi pilihan praktikal ketika melancong.

Bagi mengelakkan sebarang masalah, terutama ketika melakukan perjalanan jauh atau mengunjungi kawasan yang tidak biasa, bawa bekalan air minuman sendiri.

Pastikan penutup botol masih dalam keadaan baik dan belum dibuka ketika membeli air di restoran atau kedai.

8. Bersedia dengan budaya masa yang lebih santai

Satu lagi perkara yang mungkin mengejutkan pelancong ialah cara masyarakat tempatan menguruskan masa dalam situasi sosial.

Sesetengah pertemuan tidak semestinya berlangsung tepat pada masa yang ditetapkan dan suasananya boleh menjadi lebih santai.

Namun, perkara ini tidak semestinya terpakai untuk aktiviti yang mempunyai jadual rasmi. Jika anda menempah lawatan, penerbangan, pelayaran atau aktiviti berjadual, pastikan tiba lebih awal dan patuhi masa yang ditetapkan.

Türkiye bukan sekadar tentang Istanbul, Cappadocia atau Grand Bazaar. Pengalaman terbaik datang apabila anda bukan sahaja tahu ke mana hendak pergi, tetapi turut memahami budaya, adat dan cara hidup masyarakat tempatan.

Dengan sedikit persediaan, anda boleh menikmati perjalanan dengan lebih tenang, selesa dan menghormati budaya Türkiye, sambil membawa pulang kenangan yang jauh lebih bermakna.

Intipati
  • Pelancong disaran menukar wang selepas tiba dan menyediakan wang kecil untuk urusan harian.
  • Artikel menggalakkan pelancong mencuba makanan tempatan serta bertanya menu dan harga di restoran.
  • Pengunjung masjid perlu berpakaian sopan, sementara pengguna teksi disaran memilih perkhidmatan rasmi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan